BREAKING NEWS

Sunday, 17 September 2017

Pembantu pengerusi DAP Sarawak ditahan hina PM

Abdul Aziz Isa yang merupakan pembantu khas kepada Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen ditahan hari ini atas dakwaan menghina perdana menteri.
Aziz ditahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan, kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak menjejaskan keamanan.
Chong dalam catatan di Facebooknya berkata, bekas calon Batu Kitang itu ditahan selepas “memuat naik komen tidak menyenangkan mengenai perdana menteri”.
Beliau turut mendakwa polis enggan membenarkan seorang peguam hadir ketika Aziz disoal siasat.


Ahli Parlimen Bandar Kuching itu menyifatkan penahanan itu “tidak masuk akal” dan “ironi besar” kerana ia berlaku pada Hari Malaysia.
“Hak rakyat untuk mengkritik pemimpin politik kita ditekan seolah-olah tiada hak untuk rakyat bersuara.
“Ia memalukan kerana pentadbiran negara perlu menggunakan polis bagi menekan suara penentang.”
Chong ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, setahu beliau penahanan itu dikaitkan dengan kenyataan Aziz yang dimuat naik ke Facebook.
Difahamkan, Aziz akan dibebaskan dengan jaminan tidak lama lagi.

 
Copyright © 2014 PenangKini.