BREAKING NEWS

Tuesday, 19 September 2017

Pengajaran daripada banjir


KEPALA BATAS: PAS Pulau Pinang mengingatkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng supaya menjadikan banjir kilat yang melumpuhkan sebahagian besar kawasan di negeri ini Jumaat lalu, sebagai pengajaran kerana terlalu lantang mengkritik kerajaan Kelantan.
Pesuruhjaya PAS negeri, Muhammad Fauzi Yusoff, berkata kritikan Guan Eng yang mendakwa kerajaan Kelantan gagal mengurus tadbir negeri itu dengan baik selepas berlakunya banjir besar pada 2014 lalu, mengguris perasaan banyak pihak khususnya rakyat negeri terbabit.
Beliau berkata, setiap negeri tidak terkecuali berhadapan dengan senario bencana alam termasuk Pulau Pinang sendiri yang beberapa kali dilanda banjir kilat.
"Lihatlah, banyak kali negeri ini dilanda banjir kilat, tetapi isu ini masih tidak dapat diselesaikan bahkan keadaan menjadi semakin teruk.
"Semasa PAS di bawah pakatan pembangkang lagi masalah ini wujud dan berlarutan," katanya ketika berucap pada Majlis Himpunan Hijau dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Pulau Pinang di sini, malam tadi.
Muhammad Fauzi berkata, susulan daripada masalah banjir yang gagal ditangani kerajaan negeri, rakyat Pulau Pinang harus memikirkan sama ada mahu terus memberi mandat kepada kerajaan DAP Pulau Pinang atau sebaliknya.
"Kerajaan negeri sebelum itu mengkritik kerajaan Kelantan, tetapi dalam masa sama mereka turut gagal menyelesaikan masalah sama.
"Jadi, nak bagi lagi ke mandat kepada mereka untuk memimpin?," katanya.
BH
 
Copyright © 2014 PenangKini.