BREAKING NEWS

Wednesday, 6 September 2017

Pengerusi Mara baharu ikrar perkukuh tadbir urus, integriti

KUALA LUMPUR: Pengerusi baharu Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Awang Adek Hussin berikar mengukuhkan tadbir urus dan integriti agensi itu yang dilanda rasuah dan skandal salah guna kuasa awal tahun ini.
“Kita akan bekerjasama dengan pejabat ketua audit negara dan melancarkan kempen anti-rasuah,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat Mara hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri sesi taklimat tertutup bersama pengerusi sementara Datul Yusof Yacob dan kakitangan Mara.
Yusof dilantik awal tahun ini selepas bekas pengerusi Tan Sri Annuar Musa digantung dalam siasatan ke atas dakwaan rasuah dan salahguna kuasa berkaitan dengan tajaan pasukan bola sepak Kelantan oleh Mara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Awang Adek, yang mula bertugas hari ini, berkata agensi itu harus mendapatkan semula kepercayaan pemegang saham dan masyarakat.
“Kita akan pastikan Mara jadi bersih, telus dan patuh tatacara.

“Kita mahu maju ke depan. Saya sudah berbincang mengenai kepentingan integriti dan tadbir urus yang baik dengan pasukan pengurusan Mara,” katanya.
Beliau berkata langkah ke depan untuk Mara ialah rancangan transformasi membabitkan penstrukturan semula Mara.
“Kita akan jadikan Mara lebih cekap dan tumpu kepada bidang utama seperti keusahawanan, pendidikan, pembangunan modal insan secara efisien dan pelaburan strategik.”
Mara juga boleh mengeksport perkhidmatan pendidikannya di rantau ini seperti kejayaan menjalankan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
“MRSM antara kisah kejayaan besar negara. Ramai pelajar kita menjadi pemimpin dan nakhoda industri,” katanya.
Mara juga boleh menjalin kerjasama pintar melalui penawaran latihan kepada kerajaan, polis, Felda, Petronas, Tenaga Nasional Bhd dan badan lain.
Awang Adek adalah pensyarah di Universiti Sains Malaysia dari 1983 hingga 1985 dan kemudian menyertai Bank Negara Malaysia sebagai penolong gabenor sehingga 2001 sebelum menyertai politik.
Sekarang ini beliau adalah ketua Umno Bahagian Bachok.

 
Copyright © 2014 PenangKini.