BREAKING NEWS

Thursday, 21 September 2017

Penutupan KR1M Persediaan KR1M 2.0


Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata penambahbaikan yang sedang dilakukan dibuat membabitkan kerjasama pelbagai agensi.

Katanya, KR1M 2.0 juga bakal membuka peluang perniagaan kepada pengeluar dan pengilang tempatan.

"Penutupan sementara Kedai KR1M adalah sebahagian daripada penambahbaikan seperti mana yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Julai lalu.

"Ia sebahagian daripada rancangan kementerian untuk menambahbaik kelemahan sebelum ini, melalui inisiatif yang dinamakan sebagai KR1M 2.0," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamzah mengulas mengenai notis pemberitahuan penutupan sementara KR1M yang dipamerkan di semua premis perniagaan berkenaan di seluruh negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, butiran terperinci mengenai penambahbaikan KR1M akan diumumkan dalam masa terdekat iaitu pada hari pelancaran KR1M 2.0.

"Ia sebahagian daripada komitmen kami untuk menambah baik dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang awam," katanya.

Hamzah sebelum ini memaklumkan KR1M 2.0 akan dilancarkan bagi membolehkan rakyat mendapat lebih banyak pilihan produk pada harga lebih murah daripada pasaran.

Pengenalan KR1M 2.0 juga bakal memasarkan produk keluaran daripada koperasi dan usahawan tempatan, berbeza dengan sebelum ini yang diuruskan sebuah syarikat pengendali.
-Berita Harian
 
Copyright © 2014 PenangKini.