BREAKING NEWS

Wednesday, 20 September 2017

‘Perpecahan Melayu terlalu parah’ - Tan Sri Harussani Zakaria


IPOH 19 Sept. - Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria me­la­hirkan rasa sedih me­lihat orang Melayu yang beragama Islam berusaha menjatuhkan sesama sendiri.

Menyifatkan perpecahan yang berlaku sebagai terlampau parah, beliau berharap penyatuan dalam kalangan orang Melayu akan kembali bertaut dengan berpaksikan kepada agama Islam.


“Jika kita baca pendapat-pendapat sarjana dunia yang mengkaji mengenai hal ehwal manusia dan undang-undang, semuanya mengatakan Islam itulah yang paling baik. Namun, manusia ini dia sombong, walaupun mengakuinya tetapi dia tidak melakukannya.

“Kita tengok orang India dan Cina, mereka juga berselisih dari segi politik tetapi tidak dari segi bangsa. Namun, orang Melayu ini susah, sedikit sahaja perselisihan pendapat, mereka tidak bertegur.

“Padahal kata nabi perbezaan pendapat itu merupakan satu rahmat kerana ia membukakan pemikiran supaya kita lebih maju,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Ke-200 di Pusat Islam Darul Ridzuan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Harussani berkata, yang paling utama dianjurkan dalam Islam ialah perpaduan seperti diperintahkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika penghijrahan umat Islam ke Madinah.

Menurut beliau, sekiranya orang Melayu kembali menya­yangi bangsa dengan menghormati setiap pendapat orang lain, maka, mereka akan bersatu.

Lebih-lebih lagi katanya, orang Melayu sepatutnya berbangga kerana tiada bangsa lain di dunia ini yang disebut sebagai Islam seperti tercatat dalam Perlembagaan negara.

“Kita lihat parti Melayu kini sudah berapa banyak dan kemudian lawan caci-mencaci, saman di mahkamah, bongkar rahsia itu dan ini.

“Mula-mula dulu, kalau Pas dengan UMNO, kalau orang UMNO buat kenduri, saya pernah tengok orang buang ayam satu raga ke dalam sungai ke­rana ia disembelih oleh orang UMNO. Haram makan katanya. Namun, kedai Cina jual kopi, makan (minum).

“Ada juga kejadian sampai emak meninggal dunia, dia tidak mahu naik atas rumah tengok, hanya disebabkan perbezaan pendapat. Itu keadaan orang Melayu, dia tidak matang dalam pemikiran,” katanya.

 
Copyright © 2014 PenangKini.