BREAKING NEWS

Wednesday, 27 September 2017

Pertumbuhan Malaysia di landasan yang tepat - Najib Razak

 FW630986_PTJ16_260917_MYEXPO-scr.jpg

Pertumbuhan ekonomi Malaysia berada di landasan yang tepat sebagaimana dipaparkan unjuran terbaharu Bank Pembangunan Asia (ADB) pada Selasa yang menyemak naik pertumbuhan negara ini daripada 4.7 peratus kepada 5.4 peratus, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Perdana Menteri, laporan itu menyenaraikan Malaysia dan Hong Kong sebagai dua negara yang memaparkan kejutan dari segi pertumbuhan paling ketara di Asia.
Bagi Hong Kong, ADB turut menyemak naik unjuran tahun ini daripada 2.0 peratus kepada 3.2 peratus.
"Oleh itu, janganlah percaya kepada cakap-cakap segelintir pihak yang sanggup menjejaskan negara sendiri demi mencapai matlamat politik mereka. Buktinya sudah cukup jelas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah bagi Pusat Pameran dan Konvensyen Malaysia (MyExpo) semalam. 
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata bukti lain bahawa Malaysia berada di landasan tepat itu juga boleh dilihat menerusi fakta yang menunjukkan negara ini turut dialu-alukan sebagai rakan dagang di serata dunia.
"Mereka semua mahu menjalankan perniagaan dengan kita dan mengukuhkan hubungan persahabatan yang memberi manfaat bersama. Ini kerana mereka sedia maklum mengenai fakta yang menyokong kenyataan Bank Dunia mengenai kita," katanya.
Perdana Menteri turut memetik kenyataan Bank Dunia mengenai perkembangan ekonomi Malaysia yang disifatkan sebagai kukuh.
Namun kata beliau, masih ada pihak tertentu yang terus melemparkan dakwaan kononnya Malaysia akan bankrap.
Tegas Najib, dakwaan itu bercanggah dengan laporan terkini PricewaterhouseCooper's (PwC) mengenai dunia pada 2050 yang mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia di kedudukan ke-24 dalam senarai teratas global dari segi pariti kuasa pembelian.
"Itu adalah unjuran mereka dan firma perakaunan seperti PwC lazimnya amat teliti apabila membuat ulasan mengenai keadaan pada masa depan," katanya.
Perdana Menteri turut menyuarakan keyakinan beliau bahawa Malaysia mampu mencapai kedudukan lebih tinggi dengan bersandarkan kepada usaha kerajaan serta kegigihan rakyat negara ini. - Bernama 
 
Copyright © 2014 PenangKini.