BREAKING NEWS

Monday, 25 September 2017

Pesta Gay: Imigresen halang individu bermasalah masuk Malaysia

BUTTERWORTH: Jabatan Imigresen akan mendapatkan maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi penguat kuasa lain berhubung pesta gay yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur hujung bulan ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata ia bagi memastikan mereka berkenaan yang bermasalah tidak masuk ke negara ini dan mereka akan diberikan Notis Penolakan Masuk (NIL) di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1559/63.

“Kerajaan telah ambil satu ketetapan iaitu melarang pesta berkenaan dan Jabatan Imigresen dipertanggungjawabkan untuk menyekat mana-mana individu atau penganjur untuk masuk ke Malaysia.

“Saya juga tidak faham dengan mereka yang mempertikaikan tindakan Jabatan Imigresen untuk melarang individu terlibat pesta itu masuk ke Malaysia kerana ia (pesta) bukan budaya negara ini dan ini bukan sahaja soal agama Islam atau tidak, tetapi (pesta itu) terlalu abnormal kepada kita (di Malaysia),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan majikan bagi membincangkan isu pekerja asing, di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia tidak akan membenarkan sebarang acara atau parti gay yang dilaporkan dirancang untuk diadakan pada 30 September.

Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata walaupun sehingga ini penganjur acara itu belum membuat permohonan permit bagi membolehkan acara itu berlangsung, beliau telah mengarahkan PDRM untuk tidak meluluskannya.

Dilaporkan pesta itu diadakan bagi mempromosikan acara perhimpunan gay tahunan terbesar di Asia iaitu ‘White Party Bangkok’ di Thailand yang dijadualkan berlangsung pada 28 Disember ini.
 
Copyright © 2014 PenangKini.