BREAKING NEWS

Tuesday, 12 September 2017

PM sedih Sultan Kedah mangkat, punyai hubungan akrab

erdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merafak sembah takziah serta menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas kemangkatan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Najib berkata beliau dan Sultan Abdul Halim mempunyai hubungan yang akrab sama ada atas kapasiti rasmi atau peribadi selama ini.
“Innalillahiwainnailaihirojiun. Saya berasa sedih dan dukacita menerima berita kemangkatan Tuanku Sultan Kedah sebentar tadi.
“Patik secara peribadi dan bagi pihak Kerajaan Persekutuan dengan penuh kesedihan merafak sembah takziah kepada kerabat diraja negeri Kedah.
“Semoga roh Almarhum dirahmati Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah,” kata Najib dalam catatan di Twitter dan Facebook.

Perdana Menteri berkata Sultan Abdul Halim adalah seorang raja pemerintah yang disanjung tinggi sepanjang tempoh menyandang jawatan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh 2 penggal, dan juga sebagai pemerintah Kedah.
Najib turut menyifatkan Sultan Abdul Halim sebagai peramah, mesra, berhemah tinggi dan amat disayangi rakyat.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut merafak sembah takziah kepada seluruh keluarga, kerabat diraja dan rakyat Kedah.
“Salam takziah buat seluruh keluarga, kerabat Almarhum Tuanku & seluruh rakyat Kedah. Semoga dicucuri Rahmat Allah SWT. Al Fatihah,” katanya dalam catatan Twitter.
Kerajaan Kedah mengumumkan Sultan Abdul Halim mangkat di Istana Anak Bukit, Alor Setar pada 2.30 petang tadi.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dalam catatan di Twitter beliau turut merafak sembah takziah atas kemangkatan Sultan Abdul Halim.
“Merafak sembah takziah atas kemangkatan DYMM Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah. Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat. Al-Fatihah,” kata Salleh.

 
Copyright © 2014 PenangKini.