BREAKING NEWS

Saturday, 16 September 2017

PM umum RM30 juta untuk sekolah tahfiz

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukkan RM30 juta kepada semua maahad tahfiz di negara ini.

Najib berkata peruntukan itu bagi menambah baik prasarana maahad tahfiz sedia ada, sekali gus menafikan dakwaan kerajaan tidak membantu sekolah agama swasta itu.

"Untuk pertama kali kerajaan luluskan peruntukan RM30 juta kepada semua tahfiz swasta untuk tambah baik infrastruktur maahad tahfiz mereka.

"Ini menyangkal dakwaan yang kerajaan tak tolong pembinaan dan perjalanan tahfiz di negara ini," kata Najib kepada pemberita.

Pengumuman itu dibuat di sekolah tahfiz di ibu negara yang terbakar semalam yang mengorbankan 23 nyawa.

Terdahulu Najib tiba di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Hujung yang terbakar semalam bagi melihat sendiri lokasi kejadian.

Najib terus ke lokasi sejurus tiba daripada lawatan luar negara, antaranya bertemu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.


Dalam lawatan selama hampir sejam itu Najib turut diberi penerangan oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wira Wan Mohd Noor Ibrahim serta Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamed Fuzi Harun.

Najib berkata beliau begitu terasa kehilangan dengan pemergian lebih 20 pelajar pusat pusat tahfiz itu.

Beliau menyifatkan ia satu kejadian menyayat hati kerana pusat berkenaan selalu mengadakan majlis bacaan Yassin di kediaman beliau di Jalan Duta setiap malam Jumaat.

"Satu tragedi yang terasa sangat (kepada saya) sebab mereka selalu adakan program di (rumah saya) Jalan Duta.

"Satu tragedi yang amat sedih dan menyayat hati," katanya kepada pemberita.



Najib berkata, kejadian itu boleh dielakkan sekiranya kerja-kerja penambahbaikan premis itu tidak dilakukan.

"Kesimpulan tragedi ini boleh dielakkan sekiranya tidak dilakukan pindaan (terhadap premis terbabit).

"(Mereka) bina dinding tambahan menyebabkan pintu keluar satu sahaja. Siasatan secara mendalam akan dilakukan sebelum kita buat kesimpulan yang berdasarkan bukti.

"Kejadian ini adalah takdir tetapi rancangan kami adalah untuk tahfiz ini untuk dipindahkan ke bangunan lain.

"Memang mereka patut berpindah sebelum ini tetapi takdir menentukan lain. Sedih dan takziah kepada semua," katanya lagi.
Pasukan petugas khas

Malah menurut Najib, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid akan mempengerusikan mesyuarat pasukan petugas khas pada Selasa depan.

Ia bagi melihat faktor keselamatan kesemua pusat tahfiz di negara ini supaya perkara seumpama ini tidak berulang.

Tragedi semalam adalah yang kedua terburuk, selepas kebakaran di asrama Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah, juga dikenali sebagai Pondok Pak Ya, di Padang Lumat, Yan, Kedah, pada 1989 yang mengorbankan 27 pelajar.
 
Copyright © 2014 PenangKini.