BREAKING NEWS

Saturday, 9 September 2017

Salleh: Sekatan ke atas Steam ditarik balik

Putrajaya menarik balik keputusan menyekat laman penyedia platform permainan popular, Steam, selepas rakyat Malaysia tidak dihalang dari memuat turun satu permainan video kontroversi.
Perkara itu diumumkan Menteri Komunikasi & Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak di Twitter hari ini.
“Steam sudah menghalang permainan itu dimuat turun di Malaysia mengikut amaran dan permintaan kami malam tadi. Sekatan akan ditarik balik hari ini,” kata Salleh awal pagi tadi.
Kerajaan mengambil keputusan untuk menyekat keseluruhan laman itu malam tadi, selepas Salleh menuntut penyedia platform permainan video itu tidak membolehkan permainan “Fight of Gods” dimuat turun oleh rakyat Malaysia dalam masa 24 jam, atau tindakan akan diambil.
Dalam satu kenyatan semalam, Salleh berkata laman Steam disekat kerana mereka gagal mematuhi kata dua kerajaan.
“Tindakan yang dilaksanakan ini adalah perlu bagi melindungi pengguna selain memastikan tidak berlakunya kejadian yang tidak diingini.


“Perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat yang berbilang kaum dan agama di negara ini merupakan matlamat utama kerajaan, sebarang perilaku yang menggugat matlamat ini tidak akan dikompromi sama sekali oleh kerajaan,” katanya.
Ramai pemain video menunjuk perasaan di media sosial bagi meluahkan perasaan marah dan kecewa sejak laman Steam disekat Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) semalam.
Pemuda DAP bidas kerajaan BN
Malah Pemuda DAP turut mengulas sekatan itu, dan berkata sekatan itu menunjukkan “kerajaan BN tidak mempercayai kebijaksanaan anak muda Malaysia dan percaya ‘kerajaan lebih tahu’ tanpa mengambil kira kemahuan rakyat.
“Malaysia, di bawah kerajaan persekutuan BN, nampaknya menuju ke satu masa depan di mana tapisan keterlaluan dikenakan bila-bila senang daripada membenarkan anak muda membuat penilaian sendiri.
“Pemuda BN diketuai Khairy Jamaluddin nampaknya masih belum memahami anak muda hari ini walaupun usaha dilakukan untuk memikat mereka melalui dialog Transformasi Nasional (TN50),” kata Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pemuda DAP Kebangsaan Muhammad Shakir Ameer.
Permainan baharu itu mencetuskan kontroversi kerana ia memaparkan watak Jesus Christ dan Buddha dalam senarai “peninju”.
“Fight of Gods” diilhamkan permainan tinju 1 lawan 1 seperti Street Fighter, di mana pemain menggunakan seorang watak untuk menewaskan watak lawan mereka.
Dibangunkan oleh Digital Crafter dari Taiwan, permainan itu menyebabkan tokoh agama dan pemain video tersinggung dengan paparan Jesus Christ dan Buddha melakukan aksi ganas.
Populariti permainan itu menyebabkan pemimpin agama di negara ini berasa marah dan khuatir, dan menyeru kerajaan mengharamkan permainan itu.
 
Copyright © 2014 PenangKini.