BREAKING NEWS

Wednesday, 13 September 2017

Siasatan SPRM ke atas Isa, FGV hampir siap

Siasatan ke atas bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan pembelian 2 hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) hampir siap, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, masih ada “sedikit lagi” maklumat diperlukan agensi itu, sebelum mereka menghantar kertas siasatan dan syor kepada Jabatan Peguam Negara akhir bulan ini.
Isa merupakan pengerusi Felda dari Januari 2011 hingga Januari lalu, semasa anak syarikat milik penuh Felda itu membeli 2 hotel berkenaan.
Beliau meletak jawatan sebagai pengerusi Felda selepas tempoh perkhidmatannya tamat, tetapi kekal sebagai pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) sehingga peletakan jawatannya pada 19 Jun lalu.
“Saya diberitahu tentang status siasatan oleh orang saya hari ini. Saya hanya boleh kata kami hampir selesai dengan kertas siasatan,” kata Dzulkifli kepada pemberita.
Mengenai siasatan berasingan ke atas FGV, Dzulkifli bagaimanapun enggan menjawab soalan sama ada SPRM sudah membersihkan Ketua Pegawai Eksekutif FGV yang digantung tugas, Datuk Zakaria Arshad daripada semua tuduhan.
Pada 6 Jun lalu, Zakaria dan 3 lagi pegawai syarikat itu digantung tugas sementara menunggu siasatan dalaman berhubung hutang tertunggak Safitex Trading – syarikat Afghanistan yang berpangkalan di Dubai, kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.
FGV disiasat ekoran dakwaan dibuat Zakaria selepas penggantungannya. Beliau menggesa SPRM menyiasat tawaran syarikat itu, terutama melibatkan Jabatan Pemerolehannya.

Kepimpinan FGV turut didakwa terbabit dalam salah laku dan salah guna kuasa.
Zakaria menemui SPRM pada 7 Jun lalu dan keesokannya, agensi itu menyerbu pejabat FGV di Menara Felda, Kuala Lumpu serta merampas banyak dokumen.
Bulan lalu, Isa direman 5 hari mulai 15 Ogos atas siasatan berhubung pembelian hotel.
Beliau dan isterinya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid dipanggil memberi keterangan kepada SPRM pada 21 Jun lalu, tetapi tiada butiran didedahkan mengenai keterangan mereka.
Selain Isa, SPRM turut menyoal siasat bekas pembantunya, Zahid Md Arip dan bekas ketua pegawai eksekutif FIC, Zaid Abdul Jalil.
Siasatan SPRM mendedahkan FIC didakwa membeli Hotel Grand Plaza Kensington di London pada harga lebih tinggi daripada pasaran menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian berjuta ringgit.
Hotel itu dilengkapi 62 bilik dan terletak di Lexham Gardens di kawasan eksklusif Kensington dan Chelsea.
Hotel & Suites Merdeka Palace di Kuching yang bertaraf 4 bintang juga dipercayai dibeli pada harga lebih tinggi.
Isa dilantik sebagai pemangku pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sejurus peletakan jawatannya daripada FGV.
 
Copyright © 2014 PenangKini.