BREAKING NEWS

Tuesday, 12 September 2017

Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Perginya Sultan berjiwa rakyat

Perginya sultan berjiwa rakyat
Noor Hasni melihat keratan Sinar Harian yang menyiarkan mengenai titah Tuanku Abdul Halim Mei lalu.

TASEK GELUGOR – “Biarpun baginda merupakan Sultan Kedah, baginda dekat di hati kami,” luah aktivis masyarakat,Noor Hasni Saad yang turut bersedih dengan kemangkatan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, hari ini.

Noor Hasni berkata, Sultan Abdul Halim sentiasa peka dengan permasalahan serta isu setempat.

"Sebelum ini baginda pernah bertitah mengenai rasa dukacita berikutan berlakunya perpecahan dalam masyarakat yang dilihat semakin parah kebelakangan ini sehingga institusi masjid dicemari pada Mei lalu.

"Ketika melihat titah baginda itu, saya berasa cukup terharu, ia menunjukkan bahawa baginda merupakan seorang raja yang peka dengan hal sekeliling," katanya.

Menzahirkan ucapan takziah, katanya kemangkatan baginda turut dirasai dirinya biarpun bukan rakyat di negeri Kedah.

"Dengar sahaja tentang berita tersebut, saya rasa sebak sangat, ia satu kehilangan yang besar bukan sahaja kepada rakyat Kedah malahan saya sebagai rakyat di Pulau Pinang juga turut terasa kehilangannya.

"Semoga roh baginda dicucuri rahmat hendaknya," katanya.

Dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah pada 1958, baginda yang merupakan Sultan tertua di negara ini mangkat pada jam 2.30 petang tadi. 

Diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, Tuanku Abdul Halim merupakan anakanda ketiga Almarhum Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Almarhumah Yang Mulia Tunku Sofia Tunku Mahmud.

Baginda merupakan satu-satunya Sultan yang menjadi Yang Di Pertuan Agong sebanyak dua kali iaitu kali pertama pada 1970-1975 ketika Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri.

Kali kedua pada ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April 2012.

Pelantikan kedua untuk tempoh lima tahun mulai 13 Disember 2011 dan menamatkan perkhidmatan pada Disember 2016.
 
Copyright © 2014 PenangKini.