BREAKING NEWS

Monday, 18 September 2017

Tiga pusat pemindahan masih beroperasi

BUKIT MERTAJAM - Tiga pusat pemindahan banjir masih beroperasi di Pulau Pinang yang menempatkan 68 mangsa dari dua daerah setakat tengah hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata tiga pusat itu adalah daripada tujuh yang dibuka semalam.

"Di daerah Seberang Perai Tengah sebanyak dua buah pusat pemindahan banjir iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Kota Permatang Pasir serta dewan banjir Kampung Guar Jering masih dibuka dan masing-masing menempatkan 31 dan 25 mangsa.



"Mereka belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kerana banjir di kawasan kediaman mereka masih belum pulih sepenuhnya," katanya di sini hari ini.

Katanya sebuah lagi pusat pemindahan banjir yang masih beroperasi iaitu di Lubuk Meriam, Seberang Perai Utara,  menempatkan 12 orang termasuk dua warga emas.

Jurucakap itu berkata banjir di kawasan Lubuk Meriam semakin pulih dan kemungkinan semua mangsa banjir terbabit dibenarkan pulang petang ini.

Tinjauan Bernama di Sungai Bakap mendapati mangsa banjir yang sebelum ini ditempatkan di Dewan Serbaguna Jawi telah pulang ke rumah masing-masing selepas air surut dan sedang bertungkus-lumus membersihkan kediaman.

Seorang mangsa banjir, R. Muthu, 51 meluahkan rasa kesal dan sedih kerana “letih membersihkan rumah selepas banjir kilat minggu lepas belum habis, hari ini terpaksa bertungkus-lumus lagi.”

Katanya banjir kali ini lebih teruk dan turut merosakkan barangan elektrik serta perabotnya.

“Kami tidak sempat menyelamatkan apa-apa. Nampaknya kami terpaksa menanggung rugi besar kali ini.

“Cuma saya harap kerajaan negeri dan pihak berkaitan dapat buat sesuatu bagi atasi masalah banjir di kawasan kami kerana setiap kali hujan rumah penduduk di sini akan dinaiki air,” kata bapa empat anak itu. - Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.