BREAKING NEWS

Tuesday, 5 September 2017

Tukar agama anak: BN perlu majoriti 2/3


Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan memerlukan majoriti 2/3 untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi meluluskan akta melarang penukaran agama anak sebelah pihak.
“Kami perlukan 2/3 majoriti untuk meminda Perlembagaan. Tapi itu saya tidak ada,” katanya menjawab isu kontroversi itu yang dibangkitkan dalam sesi dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama wanita sempena Sambutan Hari Wanita Kebangsaan, hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Omna Sreeni-Ong menggesa kerajaan memasukkan Seksyen 88A(1) dalam Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, dan membentang serta meluluskannya di sidang Parlimen seterusnya.
“Kita perlu membuat perubahan sekarang apabila mengenai kesamaan jantina. Ada isu penting dan kritikal yang perlu ditangani bagi memastikan wanita bebas daripada semua bentuk diskriminasi secara langsung atau tidak langsung.
“Isu ini termasuk gangguan seksual, kurang suara wanita di Parlimen, perkahwinan kanak-kanak dan anak luar nikah.
“Khususnya, kami mahu Seksyen 88A(1) untuk dibentang dan diterima dalam sidang Parlimen akan datang,” katanya.
Pada 7 Ogos lalu, kerajaan menarik balik pindaan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, selepas ia ditangguhkan April lalu.
Pindaan itu bertujuan menyelesaikan masalah status agama dan perebutan anak di bawah umur dalam kes penceraian melibatkan bukan Islam dan pasangannya yang sudah memeluk Islam.Antara pindaan yang dicadangkan ialah mengekalkan agama anak, walaupun salah seorang ibu bapa memeluk Islam, melainkan ia mendapat persetujuan kedua-dua pihak.
Pindaan Perlembagaan Persekutuan adalah satu-satunya cara untuk membentangkan Seksyen 88A Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) di Parlimen.
Pada 8 Ogos lalu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, dengan hanya 134 ahli Parlimen, kerajaan BN tidak mempunyai majoriti 2/3 yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, kerajaan juga bimbang sebarang cubaan meminda Perlembagaan yang memerlukan sokongan 2/3 dalam Dewan Rakyat, akan gagal jika ahli Parlimen pembangkang tidak menepati janji walaupun mereka menyokong Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016.
Katanya, sebarang kegagalan kerajaan mendapat undi 2/3 akan menjadi undi tidak percaya terhadap kerajaan juga.
Bagaimanapun, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, kerajaan perlu berbincang dengan pembangkang sebelum membiarkan kebimbangan “tidak berasas” mereka menjejaskan larangan penukaran agama anak sebelah pihak.
“Kerajaan tidak pernah datang untuk membincangkan perkara ini dengan kami. Saya rasa isu demi kebaikan rakyat, kita boleh bincang bersama. Itu bukan masalah bagi DAP.”
 
Copyright © 2014 PenangKini.