BREAKING NEWS

Thursday, 14 September 2017

Ubat nyamuk, litar pintas mungkin punca kebakaran sekolah tahfiz di Keramat

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesyaki kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, hari ini, yang mengorbankan 22 pelajar dan 2 guru mungkin berpunca daripada ubat nyamuk atau litar pintas.
Timbalan Ketua Pengarah Bomba, Datuk Saimon Jahid berkata, semua mangsa maut kerana tidak dapat membuka jeriji tingkap.
“Kawasan terlibat secara keseluruhan melibatkan 3 tingkat. Apabila bomba sampai di tingkat 3, kita jumpa beberapa mangsa di sana yang berkumpul di 3 sudut berlainan.
“Satu di penjuru kanan seramai 13 orang, bertindih-tindih, satu berhadapan pintu tangga utama, 8 lagi di hujung sudut sebelah kiri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian sebentar tadi.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.41 pagi tadi.
Katanya, 5 pelajar berjaya diselamatkan dalam operasi pertama pagi tadi.Beliau berkata, operasi memadam kebakaran itu yang disertai 50 anggota tamat 8 pagi tadi, tetapi pihaknya masih melakukan pemantauan bagi memastikan tiada pelajar atau guru yang tertinggal dalam bangunan itu.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur mendapati sekolah tahfiz itu baru mengemukakan permohonan untuk kelulusan dari segi keselamatan kebakaran bangunan itu.
“Sepatutnya, pihak pemilik perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan sebelum memulakan operasi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, semua 24 mangsa korban ditemui dalam keadaan rentung dan bertindih di tingkat teratas pusat tahfiz terbabit yang menempatkan 36 pelajar.
Beliau berkata, kebakaran dipercayai bermula di bahagian pintu masuk pusat tahfiz itu yang hanya mempunyai sebuah pintu keluar masuk, selain tingkap bangunan berkenaan tidak dilengkapi aspek keselamatan untuk kegunaan waktu kecemasan. FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.