BREAKING NEWS

Thursday, 28 September 2017

Wanita diacu parang sebelum barang kemas dilarikan

NIBONG TEBAL - Seorang wanita diugut dengan parang panjang sebelum dua lelaki melarikan barang kemasnya bernilai RM10,000 di rumahnya di Bandar Cassia di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abdul Samad berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi ketika pekerja kilang itu sedang tidur.

"Dua lelaki yang memakai topeng muka dan sarung tangan memasuki bilik tidurnya sebelum mengacukan parang kepadanya.


"Kedua-dua tangan mangsa dan mulutnya kemudiannya diikat sebelum dua lelaki berkenaan menggeledah rumahnya,” katanya.

Beliau berkata antara barang mangsa yang dilarikan ialah dua utas rantai leher emas, rantai tangan emas, wang tunai, televisyen, telefon bimbit dan dokumen peribadi.

Mangsa telah diselamatkan anaknya yang tidur di tingkat dua rumah teres berkenaan.

Shafee berkata kedua-dua individu itu dipercayai turut memecah masuk beberapa buah rumah di kawasan itu sebelum ini. –Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.