BREAKING NEWS

Thursday, 28 September 2017

Warga emas ditemui maut sebab sesak nafas

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki warga emas disahkan maut selepas mengalami sesak nafas apabila rumahnya terbakar dalam kejadian di Taman Sri Kijang di sini pagi tadi.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.30 pagi, mangsa yang dikenali sebagai Tan Fong Weng, 66 dikatakan sedang tidur didalam biliknya sebelum dia berjaya dibawa keluar oleh pasukan bomba.

Difahamkan, ketika kejadian dia bersendirian di rumah terbabit selepas isterinya keluar ke pasar manakala anaknya pula telah keluar ke tempat kerja.


Menurut jurucakap Bilik Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihaknya yang menerima laporan kejadian berkenaan kira-kira jam 10.40 pagi daripada orang awam terus bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, sebaik tiba dilokasi kejadian pihaknya dimaklumkan terdapat seorang mangsa yang terperangkap didalam rumah berkenaan dan operasi menyelamatkan mangsa segera dilakukan.

"Mangsa yang mengalami sesak nafas ditemui dalam keadaan pengsan dan dia berjaya dikeluarkan daripada rumahnya sebelum dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam.

"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital," katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, kejadian yang berlaku menyebabkan hampir keseluruhan rumah mangsa hangus terbakar manakala rumah bersebelahan yang dijadikan sebagai rumah ibadat terbakar 20 peratus.

Katanya, pihak bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal kebakaran daripada terus merebal dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 11.20 pagi.

Tambahnya, punca kejadian dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih lagi dalam siasatan pasukan forensik kebakaran.
 
Copyright © 2014 PenangKini.