Menurut sumber, perkara itu dibincangkan secara serius oleh kepimpinan PKR.
“Faktor utama Norlela tidak akan dicalonkan semula adalah kerana beliau mempunyai pandangan yang sangat berbeza dengan Kerajaan DAP Pulau Pinang terutamanya dalam isu kilang haram di Kampung Sungai Lembu yang dilihat sebagai kemuncak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Norlela sebelum ini terpalit beberapa kontroversi dengan Kerajaan DAP Pulau Pinang termasuk pernah dilabel Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai menikam kerajaan negeri kerana memilih untuk berkecuali sewaktu pengundian berhubung usul tebus guna tanah yang dikemukakan ADUN Barisan Nasional, Datuk Muhamad Farid Saad dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2015.
Sumber memberitahu, PKR memilih untuk menjaga hubungan dengan DAP negeri walaupun terpaksa `mengorbankan’ ADUN yang disenangi penduduk setempat.
“Ini dibuktikan apabila Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini melawat Kampung Sungai Lembu bersama Guan Eng dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh tanpa kehadiran Norlela,” ujarnya.
Ditanya bakal pengganti Norlela, sumber itu memberitahu, kemungkinan Pengerusi PKR negeri, Datuk Dr. Mansor Othman yang pernah menjadi ADUN kawasan berkenaan sehingga 2013 akan disenaraikan.
Sementara itu, Norlela mengesahkan beliau tidak akan dicalonkan dalam PRU-14.
“100 peratus tidak akan dicalonkan. Saya okay tidak dicalonkan,” katanya.