BREAKING NEWS

Thursday, 19 October 2017

Akauntan rugi RM510,000 ditipu sindiket kad kredit

GEORGETOWN - Seorang akauntan berputih mata selepas wang simpanannya berjumlah RM510,000 lesap dipercayai ditipu sindiket kad kredit, awal Oktober lalu.
Menceritakan semula kejadian itu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 53 berkata, pada 4 Oktober lalu, dia menerima sistem pesanan ringkas (SMS) dari nombor tidak dikenali menyatakan kad kredit bank CIMB dibawah namanya telah digunakan di sebuah kedai emas dengan jumlah RM4,299.

Menurutnya, SMS tersebut memberi nombor telefon iaitu 0392126298 untuk dihubungi sekiranya mangsa mempunyai pertanyaan berhubung perkara tersebut.

Selepas menghubungi nombor tersebut, seorang wanita yang dikenali sebagai Nora Ismail memberitahunya bahawa kad kredit visa platinum CIMB tersebut telah didaftarkan di atas namanya menggunakan alamat Johor Bahru mempunyai tunggakan RM7,900.

"Saya diberitahu kemungkinan butiran peribadi saya digunakan oleh pihak lain untuk membuat kad kredit tersebut dan meminta saya menghubungi Bank Negara di talian 0392126300 untuk siasatan.

"Selepas menghubungi nombor tersebut, seorang lelaki meminta saya kesemua nombor akaun saya bagi menutup akaun-akaun tersebut dan meminta saya memindahkan kesemua wang saya ke sebuah akaun kawalan Bank Negara," katanya.

Lim ditemui bersama Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Pengaduan MCA Pulau Pinang, Gui Guat Lye di Ibupejabat MCA Pulau Pinang di sini tadi.
Lim memberitahu, dia memindahkan RM140,000 ke akaun pertama dan RM60,000 ke akaun kedua seperti yang diberikannya.

"Pada keesokkan harinya, saya RM200,000 ke akaun yang sama dan RM110,000 ke akaun yang lain. Saya hanya menyedari ditipu selepas tiada wakil dari Bank Negara datang berjumpa saya untuk menyerahkan buku akaun kawalan Bank Negara seperti yang dijanjikan.

"Saya telah membuat laporan polis dan menyerahkan salinan itu ke Bank Negara. Saya dimaklumkan oleh Bank Negara bahawa kes ini didalangi sindiket kad kredit," katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.