BREAKING NEWS

Wednesday, 25 October 2017

Bajet 2018 atasi masalah akibat legasi lama

Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan jaminan intipati Bajet 2018 mengan­dungi inisiatif baharu bagi mewujudkan negara Malaysia yang dapat memberi perlindungan kepada mereka yang lemah, bersifat adil kepada semua tanpa ada sesiapa akan ketinggalan.

Perdana Menteri menegaskan, bajet itu dipacu oleh matlamat beliau sendiri untuk memperbetulkan masalah lalu dan menjadikan Malaysia lebih kuat, lebih berdaya saing di dalam dan di luar negara.


Beliau menjelaskan, ketika beliau menjadi Perdana Menteri pada tahun 2009, cabaran ekonomi yang dihadapi negara adalah amat besar dan sedang berada di tengah kemelesetan global yang paling teruk sejak tahun 1930-an akibat dasar ekonomi terbuka dan kebergantungan negara kepada perdagangan antarabangsa.

“Kita dibelenggu oleh isu-isu struktur dan legasi serius dan ini antara lain mengakibatkan gaji rendah yang gagal menyaingi inflasi, harga kereta yang mahal, kadar kemiskinan yang tinggi, ketidaksamaan pendapatan, kenaikan kadar tol lebuh raya yang kerap, penurunan standard pendidikan, pengangkutan awam yang teruk, perjanjian Loji Kuasa Bebas (IPP) yang berat sebelah, serta kapitalisme kroni yang berleluasa. Kesemua ini memberi kesan buruk terhadap kebajikan rakyat.

“Kita juga terlalu bergantung kepada minyak, gas dan komoditi, manakala pembangunan negara tidak sama rata, dengan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia ketinggalan. Situasi ini memerlukan tindakan tegas dan hala tuju yang jelas.

“Oleh itu, tindakan pertama yang kita lakukan adalah untuk segera melaksanakan dua pakej rangsangan ekonomi besar bernilai RM67 bilion bagi me­nyalurkan wang ke dalam ekonomi kita, demi memulihkannya dan menyelamatkannya dari penguncupan yang lebih mendalam,” katanya menerusi blog beliau, najibrazak.com, hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri menjelaskan, melalui tindakan pakej rangsa­ngan ekonomi itu, rakyat Malaysia berjaya diselamatkan daripada ke­sengsaraan melalui kemelesetan teruk, se­pertimana yang berlaku pada 1997 apabila Bursa Saham Kuala Lumpur jatuh lebih daripada 50 peratus, beribu-ribu kehilangan pekerjaan serta perniagaan bankrap menyebabkan ramai menderita.

Ujar beliau, atas tindakan pantas yang diambil kerajaan, rakyat secara amnya terlindung daripada mengalami kesan kemelesetan global pada 2008-2009, tidak seperti tahun 1997 yang telah memberi kesan cukup mendalam kepada banyak negara, termasuk negara maju yang masih belum pulih hingga hari ini.

“Walaupun pakej rangsangan yang diperkenalkan ketika itu menyebabkan kenaikan sebanyak 10 peratus dalam nisbah hutang - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita ke paras melebihi 50 peratus, namun langkah-langkah ini berjaya dan Malaysia telah pulih dengan cepat. Menjelang akhir tahun itu, ekonomi kita telah kembali berkembang. Ini adalah satu pemulihan yang cukup mengagumkan,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, adalah menjadi wawasan beliau dan satu perjuangan lebih besar daripada dirinya sendiri demi membawa negara ini ke fasa seterusnya menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi de­ngan me­ngutamakan taraf hidup rakyat dan negara telah pun berjaya membuktikan mampu mencapai prestasi yang lebih baik daripada jangkaan apabila ia telah diiktiraf oleh banyak institusi antarabangsa berikutan pengurusan baik makroekonomi kerajaan dan pembaharuan struktur.

“Kesemua ini adalah hasil daripada perancangan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan selepas saya mengambil alih jawatan pada tahun 2009. Keputusan sukar yang kita ambil tidak selalunya popular, tetapi adalah perlu dan keputusan-keputusan ini telah melindungi Malaysia daripada kesan teruk kemelesetan dan pergolakan yang menimpa ekonomi global.

“Anda tidak akan mendengar tentang semua ini daripada pembangkang atau seorang bekas pemimpin negara yang taksub dengan kuasa dan mahu terus memerintah meskipun dalam persaraan, dan menyalahkan saya atas kekalahan anaknya dalam perlumbaan untuk menjadi Naib Presiden UMNO pada tahun 2013.

“Saya enggan mematuhi cara beliau kerana saya yakin bahawa Malaysia memerlukan visi baharu, jauh daripada cara lama yang telah membawa kepada masalah legasi yang serius yang kita hadapi sebelum ini serta membawa kesan buruk terhadap kebajikan rakyat,” katanya.


 
Copyright © 2014 PenangKini.