BREAKING NEWS

Thursday, 26 October 2017

Bajet HARAPAN boleh mufliskan negara - Mustapa Mohamed

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata belanjawan alternatif Pakatan Harapan (HARAPAN) akan membawa Malaysia ke kancah muflis jika ia benar-benar dilaksanakan.

Beliau berkata, ini kerana belanjawan itu tidak bertanggungjawab dalam aspek fiskal dan berdasarkan jangkaan semata-mata.

"Bagi pakatan politik yang sentiasa menyebarkan dakwaan tidak berasas yang Malaysia menghala ke arah muflis di bawah kerajaan BN, mereka sebenarnya yang akan membawa Malaysia ke arah itu dengan fiskal yang tidak bertanggungjawab.

"Agenda ekonomi hanya mempunyai wibawa jika rancangan perbelanjaan didasari langkah yang perlu untuk menjana hasil.

"Saya harap orang ramai tidak terpedaya dengan langkah tidak mampan dan populis seperti digariskan belanjawan alternatif itu," katanya dalam kenyataan.

Berbeza dengan belanjawan itu, Mustapa berkata Bajet 2018 yang akan dibentangkan kerajaan Jumaat ini mempunyai rancangan ekonomi yang baik dan bertanggungjawab, yang dapat mengangkat status negara menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.

Belanjawan bertemakan "Belanja Berhemah, Potong Cukai, Pilih Harapan" yang dibentangkan hari ini antara lain menyatakan pemansuhan GST dan pengembalian cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Jumlah peruntukan dalam belanjawan itu ialah RM258.52 bilion dengan jangkaan pungutan hasil RM229.44 bilion dan defisit dua peratus.

Mustapa yang pernah menjadi menteri kewangan kedua menyifatkan belanjawan itu sebagai retorik politik, sama seperti belanjawan HARAPAN pada tahun-tahun sebelumnya.

"Ia mengulang janji sama - menghapuskan GST dan tol, serta memberikan pendidikan percuma. Sekali lagi mereka gagal memberikan rancangan yang jelas dan konsisten bagaimana ia dapat dilaksanakan.


"Berbanding menyatakan rancangan kehilangan hasil (akibat pemansuhan GST), mereka hanya berpandukan jangkaan meragukan yang pemotongan cukai akan membawa kepada peningkatan penggunaan (aktiviti jual beli) dan pungutan cukai," katanya.

Bagi menampung kehilangan hasil daripada GST yang dijangka RM42 bilion, belanjawan HARAPAN menyatakan SST dapat menjana pendapatan bersih RM16.5 bilion.

Menurut belanjawan itu, kekurangan RM25.5 bilion akan ditampung dengan menyalurkan hasil yang dikumpulkan ke dalam ekonomi yang akan meningkatkan hasil persekutuan, ekoran peningkatan jual beli pengguna dan perniagaan.
 
Copyright © 2014 PenangKini.