BREAKING NEWS

Thursday, 26 October 2017

#BAJET2018 Keluarga Muda di Bandar Perlu dibantu




Bajet 2018 yang berlangsung Jumaat ini, dicadang memberi penekanan kepada kebajikan keluarga muda yang tidak mempunyai rumah sendiri, kata Senator Dewan Negara, Datuk Fahariyah Md Nordin.

Menurutnya, pasangan muda kini berhadapan kekangan dengan syarat yang terlalu ketat, seterusnya tidak layak untuk membuat pinjaman bank dan akhirnya terpaksa menyewa rumah dengan bayaran tinggi.

“Saya amat berharap agar isu rumah pertama akan diberi perhatian kerana syarat untuk memiliki rumah terlalu ketat termasuklah pinjaman bank memandangkan isu ini bukan baharu malah saya tidak nafikan kerajaan telah melakukan pelbagai cara bagi mengatasi masalah ini.

“Cuma apa yang saya nampak, sekiranya golongan ini diberi insentif, bantuan khas atau potongan cukai untuk sekurang-kurangnya memiliki rumah pertama dalam kategori rumah kos sederhana atau mampu milik sudah pasti ini akan banyak membantu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Fahariyah, beberapa isu lain seperti masalah pengurusan waktu terutamanya bagi mereka yang bekerja bukan diwaktu pejabat perlu diberi penekanan.

Justeru beliau yang juga Setiausaha Puteri UMNO mencadangkan supaya kerajaan dapat menambah insentif yang lebih berkesan dalam memastikan lebih ramai majikan menyediakan pusat asuhan kanak-kanak.

“Dalam hal ini saya juga mencadangkan agar kerajaan menyediakan subsidi kos yuran pusat penjagaan anak bagi golongan berpendapatan rendah yang tinggal di kawasan bandar memandangkan yuran di taska dan pusat asuhan semakin melambung tinggi,” katanya.

Menurutnya lagi, bagi mengurangkan kos sara hidup, cukai perlepasan untuk keluarga yang berpendapatan daripada RM1,500 ke RM3,000 perlu dipertingkatkan.

“Selain itu kerajaan boleh mempertimbang untuk mengecualikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi barangan keperluan bulanan seperti tuala wanita, lampin pakai buang bayi serta warga emas.

“Sudah pasti pelepasan ini akan memberikan khabar yang lebih gembira kepada masyarakat kerana ia bukan tertakluk hanya kepada kakitangan kerajaan sahaja,” ujarnya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.