BREAKING NEWS

Sunday, 29 October 2017

#Bajet2018 MTUC puji langkah berani Putrajaya perkasa wanita

 Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) memuji Putrajaya kerana mengambil tindakan “berani” menerusi Bajet 2018, yang tidak pernah berlaku sebelum ini, bagi membantu pekerja-pekerja wanita daripada dipinggirkan dalam pasaran kerja.

Setiausaha Agungnya J. Solomon berkata keperluan untuk semua syarikat berkaitan kerajaan, termasuk syarikat pelaburan, mempunyai sekurang-kurangnya 30% penyertaan wanita dalam lembaga pengarah menjelang akhir tahun 2018, adalah selaras dengan cadangan-cadangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Kami mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana mengambil langkah ini dalam menangani wanita yang dipinggirkan selama ini,” kata beliau.
“Kami juga mengalu-alukan cadangan kerajaan bahawa wajar menjadi mandatori bagi sektor swasta untuk menambah cuti bersalin dari 60 hari hingga 90 hari,” katanya.
Beliau berkata, MTUC berharap sektor swasta akan mengambil petunjuk dan menjadikannya sebagai dasar mereka.

Solomon berkata keperluan mandatori hanya boleh dilaksanakan di firma swasta melalui proses perundangan.

“Ia juga perkembangan menggalakkan kerana kerajaan mengambil langkah berani bagi memudahkan wanita yang mengandung lima bulan dan ke atas pulang ke rumah awal,” katanya.
Penjawat awam wanita yang mengandung lima bulan ke atas dibenar pulang awal sejam, manakala suami yang bekerja kerajaan juga dibenar pulang awal sejam.

Solomon juga berkata, arahan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kemudahan penjagaan kanak-kanak disediakan di semua bangunan pejabat baharu, bermula dengan Kuala Lumpur, diharap dapat memotivasi majikan untuk turut melaksanakan “kewajipan moral” terhadap pekerja mereka.
Beliau menambah, peruntukan RM27 bilion untuk penjagaan kesihatan adalah menggalakkan kerana orang ramai boleh menggunakan hospital kerajaan dan bukannya menghabiskan banyak wang di hospital swasta.

Dalam ucapannya semasa membentangkan belanjawan di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga mengumumkan pengecualian cukai pendapatan peribadi untuk menggalakkan wanita kembali sebagai tenaga kerja selepas berehat sementara sekurang-kurangnya 2 tahun, berdasarkan perolehan mereka sehingga maksimum 12 bulan gaji berturut-turut diterima.
Beliau berkata insentif itu akan disediakan untuk wanita yang kembali sebagai tenaga kerja antara tahun taksiran dari tahun 2018 hingga 2020.

Najib, yang juga menteri kewangan berkata, kerajaan akan menetapkan 2018 sebagai “Tahun Pemberdayaan Wanita” sebagai pengiktirafan kepada sumbangan wanita.

 
Copyright © 2014 PenangKini.