BREAKING NEWS

Tuesday, 3 October 2017

Banjir: Kedah sedia beri P.Pinang tunjuk ajar



ALOR SETAR - Kedah bersedia memberi tunjuk ajar kepada Pulau Pinang dalam menangani masalah banjir secara berkesan, sekiranya diperlukan.
Setiausaha Pemuda Umno Kedah, Syed Abdul Hafiz Syed Mustafa berkata, ini kerana negeri Jelapang Padi dilihat mampu mengatasi masalah banjir lebih baik berbanding Pulau Pinang.

"Sekiranya kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP serius mahu tangani masalah banjir, mereka boleh minta tunjuk ajar daripada Kedah.


"Walaupun negeri ini mempunyai sumber pendapatan jauh lebih kecil namun masalah banjir diatasi secara berkesan,” katanya.

Menurutnya, sejak Januari, kerajaan negeri Kedah telah membuat persediaan awal dengan mengadakan mesyuarat bencana negeri bagi menyusun gerak kerja sekiranya berlaku banjir.

“Persedian awal ini bagi memastikan bantuan dapat disalurkan segera bila banjir berlaku. Tambahan pula banjir kali ini memang dijangka kerana projek tebatan banjir masih dibina selain projek memperluas sungai utama,” katanya.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Alor Setar itu berkata, banjir kali ini hanya melibatkan 3,439 mangsa, berbanding banjir besar pada 2010 sebanyak 33,414 mangsa.
Syed Abdul Hafiz turut membidas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dilihat cuba mengalih isu masalah dalaman pentadbiran negeri itu dengan mencipta isu terbaru berkaitan pembinaan LRT di Pulau Pinang.

“Beliau dakwa ia tidak akan jadi kenyataan kerana tidak mendapat persetujuan kerajaan persekutuan. Guan Eng sebenarnya mahu tutup kegagalannya menangani isu banjir.
"Jika Guan Eng kata harus tukar Perdana Menteri barulah Pulau Pinang dapat LRT, maka Ketua Menteri itu juga harus ditukar supaya masalah banjir dan rasuah di negeri itu dapat diatasi,” katanya.

Menurutnya, Guan Eng sepatutnya mencermin diri sendiri sebelum menuding jari kepada orang lain.

"Kelulusan yang tidak diberikan oleh kerajaan pusat adalah kerana ia akan memberi impak negatif kepada nelayan.

"Harus diingat, kerajaan persekutuan sentiasa dahulukan rakyat, bukannya seperti pembangkang yang sering memikirkan kepentingan mereka tanpa menghiraukan nasib rakyat,” katanya.

Syed Abdul Hafiz turut membangkitkan kegagalan Guan Eng menyalurkan RM22.09 juta yang menjadi punca kegagalan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) merangka serta mengurus perparitan.

“Daripada Guan Eng membazir RM305 juta hanya untuk kos kajian terowong dasar laut, lebih baik wang itu digunakan untuk mengatasi masalah banjir,” katanya.
Menurutnya, rakyat Pulau Pinang harus sedar siapa sebenarnya Lim Guan Eng, dan percaya peralihan isu itu tidak akan dapat menutup kelemahan pentadbiran DAP.

“Saya cadangkan Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan itu, merenung kembali kegagalan kerajaan negeri pimpinannya menggunakan peruntukan diberikan kerajaan pusat bagi menangani masalah banjir,” katanya.
SH


 
Copyright © 2014 PenangKini.