BREAKING NEWS

Monday, 23 October 2017

Boleh beza pandangan tapi jangan hancurkan negara - Zahid Hamidi


ISTANBUL: Rakyat Malaysia perlu belajar melalui sejarah bagi menggelak daripada mengulangi kesilapan lampau yang hanya akan merugikan negara bagi tempoh jangka panjang.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, banyak catatan sejarah dunia boleh dijadikan iktibar terutama berkaitan kejatuhan sesuatu kerajaan dan empayar hanya kerana perbalahan sesama sendiri oleh pemimpin dan rakyat.
“Kita boleh berbeza pandangan tetapi jangan sampai perbezaan pandangan kita menghancurkan negara,” katanya pada majlis makan malam bersama Diaspora Malaysia di sini malam tadi.
Beliau berada di Turki sejak Khamis bagi mengetuai delegasi Malaysia pada Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) yang berlangsung di sini.Ahmad Zahid berkata kerajaan sekarang gigih untuk memastikan Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang dikagumi dunia dalam setiap bidang melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang digagaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak iaitu dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020.
“Kita mahu Malaysia berada di tahap 20 negara terbaik dunia menjelang 2050,” katanya.
Pada majlis ramah mesra itu, Timbalan Perdana Menteri turut berkongi pengalamannya melawat kem pelarian Rohingya di Kutupalong di Cox’s Bazar, Bangladesh pada awal minggu ini yang menyaksikan ribuan pelarian itu hidup dalam keadaan sengsara dan serba kekurangan.
Menurutnya Malaysia dan Turki di bawah kepimpinan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan bersepakat untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada pelarian itu termasuk melalui komitmen Malaysia bagi membina sebuah hospital lapangan lapangan yang dilengkapi 50 katil di Cox’s Bazaar supaya lebih ramai pelarian menerima penjagaan kesihatan lebih baik.
“Presiden Erdogan sendiri bersetuju untuk membekalkan 20,000 buah khemah, kemudahan sekolah serta menyediakan bekalan makanan dan minuman termasuk pakaian kepada pelarian Rohingya,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.