BREAKING NEWS

Tuesday, 24 October 2017

'Bukti Pulau Pinang, Selangor tak disisih'

KUALA LUMPUR: Kelulusan pelaburan tertinggi diperoleh Pulau Pinang dalam sektor pembuatan yang menjangkau RM7.7 bilion bagi separuh pertama 2017 adalah bukti kerajaan tidak mengamalkan dasar diskriminasi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata sikap profesional itu turut disokong oleh pembangunan rangkaian kemudahan seperti Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) dan lebuh raya merentasi bandar di Selangor.
"Ia termasuk Zon Perdagangan Bebas Digital di Selangor, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Aeropolis dan Jambatan Pulau Pinang kedua yang menyambungkan tanah besar dengan pulau, sekali gus mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang pertama.
"Tatkala menyebarkan propaganda palsu demi kepentingan politik mereka, Selangor dan Pulau Pinang masih menikmati pertumbuhan ekonomi, pembangunan, kemakmuran serta kestabilan yang dibawa Kerajaan Persekutuan.
"Sudah terang lagi bersuluh, modus operandi pembangkang adalah 'menangguk' kredit semua pencapaian positif di negeri mereka dan pantas menyalahkan kerajaan apabila timbul sebarang berita negatif mengenai negara," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Abdul Rahman menyifatkan dakwaan pembangkang kononnya pelabur asing meninggalkan Malaysia dan Malaysia adalah sebuah negara yang gagal adalah sekadar tuduhan palsu.
Tohmahan itu, katanya, bercanggah dengan petunjuk data mengenai Malaysia yang menunjukkan prestasi negara dalam landskap perkembangan ekonomi dinamik dan progresif.
"Aliran masuk bersih pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia melonjak daripada RM23.9 bilion pada 2008 kepada RM47.2 bilion (2016), selain mencatat peningkatan konsisten meskipun berdepan ketidaktentuan faktor luaran seperti kejatuhan harga komoditi dan pasaran kewangan global.
"Tahun Aliran Bersih FDI ke Malaysia pada 2016 mencatat perangkaan RM47.2 billion, berbanding RM35.6 billion (2014) dan RM39.4 billion (2014).
"Justeru, pujian sepatutnya diberikan kepada agensi Kerajaan Persekutuan iaitu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang sentiasa mempromosikan Malaysia di pentas global dalam usaha menarik pelaburan langsung dari luar negara," katanya.
Sehubungan itu, Abdul Rahman berkata, rakyat wajar sedar dan menilai pihak mana yang bersungguh-sungguh menguruskan ekonomi negara, berbanding sibuk berpolitik setiap masa.



 
Copyright © 2014 PenangKini.