BREAKING NEWS

Monday, 16 October 2017

DAP Jangan sembunyikan fakta tentang ekonomi Pulau Pinang

Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming tidak perlu cuba membantu Kerajaan Pulau Pinang dengan memutarbelitkan kedudukan ekonomi negeri itu melalui kenyataan separuh benar dan data terpilih demi menyembunyikan prestasi buruk pentadbiran parti itu sejak 2008.

Setiausaha Agung Gerakan, Liang Teck Meng berkata, Ahli Parlimen Serdang itu dengan bangganya mengemukakan fakta mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita di negeri itu pada tahun lalu telah menduduki tempat kedua tertinggi di negara ini selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sedangkan, me­­nurut beliau, kedudukan KDNK di negeri itu telah pun berada pada kedudukan sama pada tahun 2007 sebelum DAP mengambil alih melalui dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini berjaya menarik syarikat-syarikat gergasi elektronik untuk menubuhkan tapak kilang di sana sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebagai penge­luar dan pengeksport elektronik ketiga terbesar di dunia.

“KDNK Pulau Pinang per kapita setahun adalah 69.3 peratus atau hanya RM13,762 kurang daripada Kuala Lumpur pada tahun 2007. Kini Pulau Pinang adalah RM54,098 di belakang Kuala Lumpur dan hanya 46.7 peratus daripada Kuala Lumpur. Ini kerana Pulau Pinang telah mencatatkan pertumbuhan KDNK per ka­pita ketiga terendah dari tahun 2008 hingga 2016 di antara kesemua 14 negeri.

“Umum telah mengetahui bahawa harga hartanah dan kos sara hidup di Pulau Pinang adalah sama seperti di Kuala Lumpur. Oleh itu, nilai gaji yang jauh lebih rendah di Pulau Pinang dibandingkan de­ngan Kuala Lumpur berserta dengan kosnya yang hampir sama menyebabkan ramai orang muda negeri itu mencari pekerjaan lebih baik dengan berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau, hari ini.

Semalam Kian Ming menyatakan bahawa ke­adaan eko­nomi Pulau Pi­nang telah berkembang kukuh sekali gus meletakkan ne­­geri itu antara ter­atas berbanding ne­­geri-negeri lain se­bagaimana yang digambarkan melalui statistik Jabatan Perangkaan Malaysia.

Teck Meng menambah, disebabkan Kerajaan Pulau Pinang dan majlis daerah tempatan mengenakan caj tertinggi ke atas pemaju, banyak rumah baharu di negeri itu kini lebih mahal berbanding di Kuala Lumpur yang tidak mampu dibeli oleh penduduk tempatan.

Selain itu, katanya, walaupun Kian Ming dengan bangganya menyatakan bahawa Pulau Pinang mempunyai pendapatan isi rumah median dan minimum kelima tertinggi bagi tahun lalu, tetapi beliau tidak pula menyatakan bahawa kedudukan itu menunjukkan bahawa Pulau Pinang kini telah jatuh di belakang paras purata kebangsaan sekali gus menjadikan negeri itu merupakan negeri yang mempunyai pendapatan purata isi rumah di bawah paras purata.

Utusan
 
Copyright © 2014 PenangKini.