BREAKING NEWS

Monday, 23 October 2017

Guan Eng… Henti Sikap Salahkan Orang Lain, Belajarlah Jadi Sebuah Kerajaan Bertanggungjawab


KUALA LUMPUR, 23 Okt – Kerajaan negeri Pulau Pinang digesa menghentikan amalan menyalahkan orang lain di atas setiap kecelakaan serta perkara yang melibatkan kontroversi yang berlaku di negeri berkenaan sejak mereka menjadi kerajaan negeri.
Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang (MTPNPP) , Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata sudah lebih sembilan tahun DAP menjadi Kerajaan Negeri, sewajarnya mereka perlu belajar bagaimana sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan jangan berterusan menjaja slogan Kompeten, Akauntabel dan Telus yang kosong.
“Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, bagi pihak Kerajaan Persekutuan merakamkan rasa sedih dengan kejadian tanah yang berlaku di tapak pembinaan di Lembah Permai, Tanjung Bungah yang melibatkan kehilangan 11 nyawa pada Sabtu, 21 Oktober 2017. MTPNPP mengucapkan takziah kepada keluarga semua mangsa terlibat.
“Kenyataan media oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang memaklumkan bahawa projek perumahan di Lembah Permai, Tanjung Bunga itu TIDAK mendapat sokongan Jabatan Alam Sekitar adalah sangat mengejutkan.
“Apakah Pihak Berkuasa Negeri, sama ada OSC atau Jawatankuasa Perancangan Negeri (SPC) telah mengenepikan pandangan jabatan-jabatan teknikal semasa memberikan kelulusan itu pada 10 Februari 2015,“ katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online, di sini hari ini.
Datuk Zainal seterusnya menambah pihaknya amat amat hairan bagaimana satu projek yang telah tidak disokong oleh sebuah jabatan teknikal masih diberi kelulusan oleh Pihak Berkuasa Negeri.
“Seharusnya tiada kelulusan untuk sesuatu permohonan kebenaran merancang jika tidak mendapat sokongan semua jabatan teknikal yang terlibat.
“Sehubungan itu, Kerajaan negeri Pulau Pinang digesa segera menubuhkan satu Badan Bebas untuk mengaudit semua kelulusan projek-projek pembangunan di kaki, lereng dan cerun bukit yang telah dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri di seluruh negeri Pulau Pinang.
“Kerajaan negeri perlu mengambil tanggungjawab dan akauntabel di atas kecelakaan melibatkan kehilangan 11 nyawa yang telah berlaku pada Sabtu lalu akibat keangkuhan mereka telah mengenepikan pandangan Jabatan Alam Sekitar.
“Kecelakaan yang berlaku bukan satu kemalangan biasa di tempat kerja. Ia tidak mungkin berlaku sekiranya projek pembinaan ini tidak diluluskan. MTPNPP mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa dalam tragedi runtuhan cerun itu,“ katanya. – Media UMNO
 
Copyright © 2014 PenangKini.