BREAKING NEWS

Sunday, 29 October 2017

Hayat Parti Amanah Negara PAN dijangka gagal bertahan lama lepas PRU14 - penganalisis

Penganalisis politik menjangkakan hayat Amanah tidak akan bertahan lama selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), melainkan rakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) memberi laluan kepada mereka.

Ini kerana menurut Datuk Aidit Ghazali, Amanah hanya berguna kepada PH bersabit isu-isu agenda Islam sahaja, sedangkan pakatan itu tidak meletakkan perkara berkenaan sebagai yang utama.

"Saya lihat lepas PRU14, Amanah tidak akan ada tempat (dalam PH) melainkan kalau diberi (tempat) oleh pemimpin-pemimpin pembangkang.

"Sekiranya isu-isu bersabit dengan Islam merupakan isu yang hangat, maka barulah ada relevannya kata-kata Amanah. Tapi kalau isu lain, kita akan lihat pemimpin Amanah akan terpinga-pinga," katanya dalam satu temubual bersama Antarapos.

Aidit berkata masyarakat jangan lupa bagaimana Amanah ditubuhkan sebelum mengumumkan impian mahu menggantikan parti leluhurnya, PAS.

Beliau berkata umum mengetahui majoriti pemimpin Amanah kini adalah mereka yang kecundang pada pemilihan parti ketika Muktamar PAS kali ke-61, pada September 2015

Perwakilan PAS ketika itu bangkit menolak kelompok itu selepas mereka didedahkan tidak lagi menyokong kepimpinan parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah selepas keluar dan membentuk Amanah, kebanyakan mereka menjangkakan PAS akan kembali menjadi parti konservatif sementelah diwakili golongan ulama semata.

"Pemimpin Amanah yang ada ni suatu ketika dahulu dalam PAS adalah mereka yang lantang, sehinggakan apabila mereka tak ada dalam PAS seolah-olah PAS kehilangan suara profesional.

"Golongan profesional ini kalau nak jadi aset kepada pakatan pembangkang maka mereka boleh menyuarakan sesuatu yang tak mampu disuarakan PKR, PPBM, DAP kerana tak bawa agenda Islam. Yang dilihat sebagai memakai topi Islam tapi bukan agenda Islam ialah Amanah," katanya. 

Justeru, Aidit berkata cita-cita Amanah mahu menjadi pengganti PAS agak sukar dicapai berikutan hingga kini tiada pencapaian yang boleh dibanggakan parti pimpinan Mohamad Sabu itu.

Berlainan dengan PAS, parti itu semakin bijak menyesuaikan diri dan lebih matang mengatur halatuju politiknya, kata Aidit.
 
Copyright © 2014 PenangKini.