BREAKING NEWS

Tuesday, 10 October 2017

Identiti kampung Melayu ‘dibunuh’

BALIK PULAU 9 Okt. - Tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang meluluskan projek perumahan mewah di Balik Pulau didakwa telah membunuh identiti kampung-kampung tradisi Melayu di kawasan itu.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, senario itu berlaku berikutan kewujudan projek perumahan mewah termasuk banglo dan kondominium yang dibina untuk ‘orang luar’.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu mempromosikan Balik Pulau sebagai produk pelancongan untuk pelancong yang ingin lihat cara hidup orang Me­layu.
“Mereka boleh melawat Kampung Sungai Rusa, Kampung Sungai Pinang, Kampung Perlis dan Sungai Burung, namun kini akibat pembinaan banyak rumah banglo mewah, ciri-ciri tradisi te­lah hilang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan projek baik pulih rumah dan program Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri di Kampung Paya Kongsi di sini, baru-baru ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Saadon Moktar.

Menerusi program berkenaan yang dilaksanakan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri telah membaiki rumah seorang penduduk kampung, Hamidah Haroon yang rosak teruk akibat dimakan anai-anai dengan kos sebanyak RM13,000.

Pada masa sama, Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan turut menempelak pemimpin PKR di situ yang mendakwa BN tidak melaksanakan sebarang projek pembangunan untuk lebih 100,000 penduduk di Balik Pulau.

“Apa yang mereka (kerajaan negeri) lakukan di sini, hanya luluskan pembinaan rumah mewah sahaja seperti yang berlaku sekarang.

“Untuk pengetahuan wakil rak­yat PKR, BN telah melaksanakan pelbagai projek kesejahte­raan rak­yat sejak awal tahun 1990-an lagi termasuk pembinaan sekolah, pejabat operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, jambatan serta membina jalan raya mesra alam dari Teluk Kumbar ke Balik Pulau malahan masalah banjir di sini juga telah diatasi,” ujarnya.

UTUSAN


 
Copyright © 2014 PenangKini.