BREAKING NEWS

Wednesday, 25 October 2017

Isu Tanah Runtuh Tanjung Bungah : Pas sifatkan Kerajaan DAP Pulau Pinang terlalu ‘bijak’

Kerajaan Pas Kelantan menyifatkan Kerajaan DAP Pulau Pinang sebagai terlalu ‘bijak’ sehingga tidak memerlukan pandangan pihak lain khususnya Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam melaksanakan projek pembangunan di negeri itu.

Menteri Besar, Ahmad Yakob berkata, sepatutnya kerajaan negeri itu perlu mematuhi prosedur ditetapkan sebelum melaksanakan sesuatu projek agar tragedi yang mengorbankan 11 nyawa di Tanjung Bungah tidak berulang.


“Dalam mentadbir tidak semua kerajaan sempurna, pasti ada kekurangan cuma kita kena sedar itu. Jangan memperkecilkan mana-mana pihak.

“Dalam isu ini (tanah runtuh) mungkin dia (kerajaan DAP Pulau Pinang) lebih bijak,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

Kerajaan DAP Pulau Pinang sebelum ini dilaporkan mendakwa tidak bergantung semata-mata kepada saranan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dalam meluluskan sesebuah projek pembangunan.

Advertisement

Perkara itu juga, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Lalu-lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow, menjadi sebab mengapa Kerajaan DAP Pulau Pinang tetap memberi kelulusan kepada projek yang mana berlakunya tragedi tanah runtuh meskipun tidak disokong JAS.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendakwa Kelantan adalah sebuah negeri gagal dan muflis kerana ditadbir oleh sebuah parti yang gagal iaitu Pas sekali gus menyebabkan rakyat hidup dalam kemiskinan.

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan itu juga mendakwa Kerajaan Pas Kelantan gagal menyelesaikan isu rumah mangsa banjir 2014, selain terpaksa menebang kira-kira 100,000 hektar hutan kerana tidak mempunyai wang untuk mentadbir.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, Pas akan meletakkan calonnya di semua kerusi di negeri ini termasuk yang pernah menjadi milik PKR dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Kali ini kita tidak ada pembahagian kerusi kerana Pas tidak akan berbincang dengan PKR. Sebaliknya kita akan meletakkan calon di semua kerusi dan sedia berhadapan saingan tiga penjuru termasuk PAN dan DAP,” katanya.

Tambah Ahmad yang juga Timbalan Muryidul Am Pas, pihaknya tidak gentar berhadapan dengan sesiapa sahaja termasuk DAP yang dikatakan akan bertanding di Kelantan. - UTUSAN ONLINE



 
Copyright © 2014 PenangKini.