BREAKING NEWS

Thursday, 12 October 2017

Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ditutup Sabtu ini


GEORGE TOWN - Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (JSAHMS) akan ditutup kepada lalu lintas bermula pukul 12 tengah malam hingga 10 pagi Sabtu ini bagi memberi laluan kepada penganjuran acara Music Fun Run sempena sambutan Hari Sukan Negara 2017.
Timbalan Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) Azizi Azizan berkata pengguna JSAHMS diminta merancang perjalanan mereka pada waktu penutupan jambatan itu bagi mengelak sebarang kesulitan dan kesesakan yang mungkin berlaku dalam tempoh berkenaan.

"Pengguna juga dinasihatkan mematuhi arahan dan papan tanda yang disediakan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata acara tahunan santai bertemakan kekeluargaan itu buat julung kali dianjurkan bersama oleh JKSB dan Mediamore Marketing. Peserta akan dihiburkan dengan alunan muzik bertenaga di sepanjang laluan kayuhan itu.
Jarak keseluruhan kayuhan ialah 45 kilometer dan memandangkan ia bukan satu perlumbaan maka peserta tidak diwajibkan menamatkan keseluruhan jarak itu.
Azizi berkata pihak penganjur menyediakan tiga lokasi di JSAHMS untuk memudahkan peserta membuat pusingan awal ke Batu Kawan iaitu di Km4.7; Km12.8; dan Km18.5.
"Lebih 2,400 peserta dari dalam dan luar negara telah mendaftar dalam acara itu termasuk 22 pelajar Program pendidikan Khas Integrasi daripada empat sekolah menengah di Seberang Perai Selatan," katanya.
Untuk pertanyaan atau maklumat lanjut berhubung penutupan jambatan itu, orang ramai boleh menghubungi talian hotline JKSB di 1 300 30 2828. - Bernama
 
Copyright © 2014 PenangKini.