BREAKING NEWS

Monday, 9 October 2017

Kamunting bakal jadi pusat pemulihan pengganas-DS Zahid Hamidi

Pusat Tahanan Kamunting di Taiping, Perak akan dijadikan pusat khas untuk pemulihan (deradikalisasi) pengganas, lapor NST Online.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerja pengubahsuaian sedang dijalankan di pusat itu untuk membolehkan program pemulihan dilaksanakan.
“Kebimbangan dibangkitkan terhadap tahanan yang ditangkap kerana keganasan yang dihantar ke sana. Saya memberi jaminan semua ini tidak akan menjejaskan penduduk Taiping,” kata Zahid kepada pemberita selepas majlis di Hutan Melintang.
Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, mana-mana pengganas atau ahli kumpulan militan yang dianggap “sangat berbahaya” akan ditempatkan di penjara lain dan bukannya di pusat tahanan Taiping.
“Saya menerima surat bantahan daripada Ahli Parlimen Taiping (Nga Kor Ming) yang bimbang mengenai kemungkinan kejadian keganasan berlaku di kem tersebut,” katanya memetik laporan Bernama.


Zahid berkata polis juga memantau tahanan dan warden daripada unsur keganasan.
Semalam dilaporkan 8 lelaki ditahan disyaki terlibat dengan aktiviti kumpulan pengganas dalam operasi yang dijalankan pada 27 September hingga Jumaat di Selangor, Sabah dan Perak.
Ketua Polis Negera Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata tangkapan ke-3 pada Jumaat melibatkan 2 lelaki bekas banduan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 di Tapah, Perak yang pernah ditangkap pada 7 Februari 2013 kerana terlibat dalam aktiviti keganasan.
Tujuh warden dari pelbagai penjara di seluruh negara juga dikenal pasti terlibat dalam aktiviti mengrekrut pengganas. Mereka sedang menjalani pemulihan di bawah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota).
Zahid berkata proses mengrekrut banduan untuk aktiviti keganasan hanya dikesan berlaku di Penjara Tapah.
“Perkara itu diselesaikan dengan memisahkan tahanan yang terlibat dalam kegiatan terbabit di lokap yang berlainan supaya proses pemulihan dapat dilakukan dan mencegah mereka daripada mempengaruhi tahanan atau pegawai penjara lain.”
Zahid berkata program pemulihan yang dilaksanakan oleh kementerian dalam negeri terhadap 15,000 tahanan di negara ini sejak 1948 menyaksikan 97.5% daripada mereka berjaya dipulihkan setakat ini.
 
Copyright © 2014 PenangKini.