BREAKING NEWS

Monday, 16 October 2017

Kerajaan DAP Pulau Pinang Didesak Selesai Masalah banjir

Sebanyak 24 jawatankuasa penduduk di sekitar negeri ini mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang mengambil langkah drastik segera bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Kesemua mereka yang terjejas dengan banjir buruk 15 September lalu melahirkan kebimbangan terpaksa berdepan bencana serupa pada masa depan berikutan tiadanya usaha serius daripada kerajaan negeri bagi mengatasi masalah itu.

Wakil jawatankuasa itu, R. Meenakshi berkata, Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak sepatutnya sekadar memberi alasan bencana banjir kilat adalah disebabkan hujan lebat luar biasa.

Ini kerana ujar beliau, sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab, fenomena itu sepatutnya dihadapi dengan langkah-langkah penyelesaian jangka pendek atau jangka panjang apatah lagi bencana tersebut juga kerap berlaku ketika ini.

“Apa yang diperhatikan penduduk adalah banjir kilat dan ta­nah runtuh itu berpunca daripada pembangunan di kawasan berisiko seperti di lereng-lereng bukit.

“Selain itu, banyak kawasan juga diteroka untuk dibangunkan projek komersial, sekali gus me­ningkatkan kapasiti aliran air hujan yang menyumbang kepada banjir kilat,” katanya di sini hari ini.

Bulan lalu, hampir keseluruhan kawasan di negeri ini khususnya di bahagian pulau ditenggelami banjir kilat yang disifatkan terburuk dalam tempoh 10 tahun yang turut menyaksikan kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang.

Menurut Meenakshi, penduduk kini bosan dengan pelba­gai alasan diberikan kerajaan ne­geri termasuk menyalahkan pi­hak-pihak lain sedangkan ma­salah banjir tersebut masih gagal ditangani.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya masalah banjir kilat tersebut dibawa dan dibincangkan dengan serius dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan bermula bulan depan.

“Ekoran itu juga, kita akan mengadakan dialog dengan ke­semua wakil rakyat di negeri ini pada 29 Oktober ini dengan harapan mereka dapat mendengar dan memahami kepayahan sebenar penduduk setiap kali terpaksa berdepan bencana banjir kilat,” katanya.

Utusan
 
Copyright © 2014 PenangKini.