BREAKING NEWS

Thursday, 19 October 2017

Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu akui kegagalan bina rumah mampu milik - Azizi Safar

GEORGETOWN - "Kerajaan Pulau Pinang perlu mengakui kegagalan mereka dalam membina rumah mampu milik untuk rakyat di Pulau Pinang," kata Pengarah Jawatankuasa Strategik Umno Kepala Batas, Azizi Safar.

Ini kerana, katanya, sejak hampir 10 tahun memerintah Pulau Pinang, kerajaan negeri baharu membina 520 unit rumah mampu milik di Batu Kawan tetapi masih belum siap sepenuhnya.

Beliau berkata, selama ini, kerajaan negeri dilihat hanya meluluskan projek perumahan daripada pemaju swasta yang tidak mampu dimiliki rakyat yang berpendapatan rendah.


“Meluluskan projek pemaju swasta semestinya tidak sama dengan membina sendiri rumah mampu milik. Kerajaan negeri perlu terima hakikat, semua projek perumahan mampu milik mereka belum siap, sama ada masih di peringkat pembinaan atau masih tersangkut pada peringkat perancangan awal sahaja.

“Sejak 2009, kerajaan negeri tidak berhenti mengatakan mereka akan membina rumah mampu milik di Pulau Pinang. Tetapi, sepanjang tempoh itu juga, tiada kenyataan dikeluarkan bahawa mereka telah menyiapkan rumah mampu milik di Pulau Pinang.

"Apa yang kita dengar, mereka telah meluluskan projek pembinaan puluhan ribu rumah mampu-milik, sedangkan ia dibina oleh pemaju swasta, termasuk yang dibina  agensi kerajaan Persekutuan,” katanya.



Azizi menambah, Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) bukan satu-satunya agensi kerajaan Persekutuan yang dipertanggungjawabkan membina rumah mampu milik untuk rakyat.

“Di Pulau Pinang, terdapat banyak agensi kerajaan Persekutuan, kita ada JKP Sdn Bhd, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan UDA Holdings. Untuk tempoh 2008 hingga tahun lalu, sebanyak 34 projek telah siap dilaksanakan oleh empat agensi dan jabatan kerajaan Persekutuan.

“Ia melibatkan penyediaan 5,950 unit perumahan mampu milik di negeri ini. Ini adalah sumbangan kerajaan Persekutuan kepada jumlah keseluruhan rumah mampu milik untuk rakyat Pulau Pinang yang siap dibina oleh pihak swasta dan agensi kerajaan Persekutuan. Jumlah ini jauh lebih banyak dari jumlah yang telah siap dibina kerajaan negeri (yang pada masa ini masih sifar),” katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Perancangan Negeri berkuasa penuh dalam meluluskan semua permohonan kebenaran merancang pembangunan hartanah kediaman dan komersial di Pulau Pinang.

“Malah agensi kerajaan Persekutuan juga tertakluk kepada kelulusan ini dalam usaha mereka untuk membina rumah mampu milik di negeri ini. Dengan itu, kerajaan negeri boleh (jika mahu) menggunakan kuasa yang ada bagi merencatkan segala perancangan agensi kerajaan Persekutuan untuk membina rumah mampu milik di Pulau Pinang.

“Isu rakyat seperti perumahan tidak sepatutnya dipolitikkan sebaliknya perlu ditangani oleh semua pihak berkuasa. Isu ini amat besar di Pulau Pinang dan ia adalah isu rakyat yang tidak seharusnya dijadikan bahan politik atau dijadikan topik perbalahan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan. Rakyat tidak seharusnya dijadikan mangsa,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.