BREAKING NEWS

Monday, 30 October 2017

Kerajaan DAP Pulau Pinang perlu perjelas ‘projek khas’




PULAU PINANG 29 Okt. - Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan DAP Pulau Pinang menjelaskan mengenai ‘projek khas’ yang diberi kebenaran untuk dibina di lereng bukit berketinggian 76 meter dan berkecerunan 25 darjah.



Presidennya, S.M. Mohamad Idris (gambar) berkata, pihaknya turut khuatir sekiranya kerajaan negeri akan menggunakan alasan ‘projek khas’ itu untuk memberi kebenaran merancang kepada pelbagai projek pembangunan lain di kawasan lereng bukit.


Ini kerana, katanya, kerajaan negeri sehingga kini masih belum menjelaskan kriteria projek khas yang dimaksudkan itu sekali gus menimbulkan keraguan kepada banyak pihak.

“Kita tidak tahu apa yang dimaksudkan de­ngan projek khas itu sehingga boleh dibangunkan di lereng bukit yang sepatutnya tidak mendapat kelulusan merancang daripada kerajaan negeri.

“Bagaimanapun, kami beranggapan projek khas hanya boleh dilaksanakan untuk pembangunan milik kerajaan yang betul-betul mustahak, bukannya perumahan penduduk dan pelancongan yang seolah-olah menguntungkan pemaju swasta,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan negeri supaya mengkaji semula projek pembangunan di lereng bukit selain menangguhkan projek-projek yang masih dalam perancangan bagi memastikan tragedi tanah runtuh tidak berulang.

Diminta mengulas berhubung pembangunan empat buah bangunan di Paya Terubong yang dibantah 700 penduduknya baru-baru ini, beliau turut melahirkan kebimbangan kerana jarak antara projek tersebut dengan dua taman perumahan di situ terlalu hampir.

“Kerajaan negeri sepatutnya mengambil iktibar daripada tragedi tanah runtuh yang telah beberapa kali berlaku setiap kali hujan lebat dan paling membimbangkan kejadian yang menyebabkan 11 pekerja buruh maut di Tanjung Bungah baru-baru ini,” jelasnya. UTUSAN




 
Copyright © 2014 PenangKini.