BREAKING NEWS

Monday, 23 October 2017

Kerajaan DAP Pulau Pinang Tak Endah Bantahan Jabatan Alam Sekitar


Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar hari ini mendedahkan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menolak permohonan pembinaan pangsapuri di lereng bukit di Tanjung Bungah yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh pada pagi Sabtu lalu yang turut meragut nyawa pekerja.

Melalui satu kenyataan media dikeluarkan hari ini, Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Kamarulnajuib Che Ibrahim berkata JAS menerima ‘Permohon Kebenaran Merancang’ pada 9 Januari 2015 dari pemaju perumahan itu, Taman Sri Bunga Sdn Bhd dan memberi jawapan penolakannya pada 23 Januari 2015.



“Tapak pembinaan itu terletak bersebelahan dengan kuari granit yang dimiliki Teik Granite Quarry yang merupakan kuari kekal di situ dan sudah beroerpasi sejak 1960.
“Syarikat kuari itu melakukan letupan dua kali sebulan dan terakhir adalah pada 9 Oktober 2017. Apabila batu diletupkan dan pecah dari lereng bukit itu, ia kemudian dihantar ke tapak penghancuran di kawasan kuari yang sama bagi dihancurkan untuk kegunaan sektor pembinaan.

“JAS tidak menyokong permohonan pemaju untuk memulakan perancangan projek itu kerana tiada zon penampan yang mencukupi antara projek pangsapuri itu dan aktiviti kuari berhampiran berlandaskan kepada Garis Panduan Pendudukan dan Penzonan Kawasan Industri dan Perumahan.

“Aktiviti kuari berkenaan terletak hanya 162 meter dari tapak penghancuran dan antara 400 hingga 500 meter dari tapak letupan kuari itu.



“Oleh itu ia adalah tidak selamat dan persekitaran yang tidak aman untuk penempatan manusia. Malah, pembangunan itu melibatkan cerun curam dan ini memerlukan kajian terperinci kejuruteraan yang memerlukan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar. Bagaimanapun, mereka membuat keputusan untuk tidak mengendahkan nasihat kami dan meneruskan pembinaan dan tidak menghiraukan keselamatan pekerja mereka.

“Kementerian ini sangat kecewa dengan kesilapan Kerajaan Pulau Pinang terhadap projek ini. Disebalik bantahan JAS terhadap projek ini sejak awal lagi, pemaju berkenaan tetap memulakan kerja pembinaan tanpa mengambilkira akibatnya. Apa yang memeranjatkan ialah apabila tiada langsung campur tangan dari kerajaan negeri yang turut menimbulkan lebih banyak persoalan dari jawapan,” katanya.

Sehubungan itu, kementerian itu menggesa Kerajaan Pulau Pinang untuk mengkaji semula perancangan mereka untuk membangunkan mana-mana kawasan lereng bukit.
 
Copyright © 2014 PenangKini.