BREAKING NEWS

Thursday, 19 October 2017

Kerajaan Pulau Pinang Diminta Perjelas Bangunan Warisan Dijadikan Hotel


GEORGE TOWN, 19 Okt – Kerajaan DAP Pulau Pinang digesa memberi penjelasan kepada rakyat negeri ini berhubung tiga premis bangunan di kawasan Tapak Warisan Dunia George Town di sini  yang dikatakan bakal dimajukan sebagai sebuah hotel.
Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang Jason Loo berkata tiga premis bangunan berkenaan yang terletak di Church Street dan King Street itu dahulunya merupakan bangunan kedai runcit dan kediaman yang mempunyai nilai warisan negeri Pulau Pinang.
“Kami menerima aduan bahawa bangunan ini akan dibangunkan menjadi hotel oleh sebuah syarikat daripada Singapura yang telah mendapat kelulusan kerajaan negeri untuk menukar guna bangunan daripada kediaman kepada komersial dan juga pindaan tambahan, “katanya pada sidang media hari ini.
Loo berkata sekiranya bangunan berkenaan dimajukan sebagai hotel, ia tidak mengikut peraturan-peraturan di bawah Pelan Kawasan Khas (SAP) sepertimana yang telah diwartakan oleh kerajaan negeri tahun lepas.
“Mengikut SAP berkenaan  hotel baharu hanya boleh dibangunkan di tiga kawasan sahaja (di kawasan Tapak Warisan George Town) iaitu zon pesisir, zon perniagaan dan zon pelancongan dan santai. Jadi bangunan ini bukan berada dalam ketiga-tiga zon berkenaan,”katanya.
Justeru Loo turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang tidak mengikut undang dan peraturan yang telah dibuat.
“Jikalau kerajaan negeri  meluluskan pembinaan hotel di sini, ini menunjukkan kerajaan DAP menipu rakyat negeri ini menerusi penjagaan nilai warisan di Pulau Pinang,” katanya
 
Copyright © 2014 PenangKini.