BREAKING NEWS

Thursday, 26 October 2017

Kerajaan Sedang Rangka Kurikulum Pendidikan Sekolah Tahfiz – Asyraf Wajdi

Tiada kurikulum khusus yang digunapakai oleh sekolah-sekolah tahfiz, Dewan Rakyat diberitahu.

Sebaliknya menurut Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asraf Wajdin Dusuki, pengendali sekolah-sekolah tahfiz menggunakan sukatan hafazan masing-masing.

Jelas beliau, aspek kurikulum sekolah tahfiz adalah berada di bawah kawalan pihak berkuasa agama negeri, selaras dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan di mana hal ehwal Islam adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri.

"Pada masa ini tiada suatu kurikulum khusus yang digunapakai oleh sekolah tahfiz persendirian.

"Kebanyakan sekolah tahfiz menggunakan sukatan hafazan masing-masing dengan penambahan pengajian agama dengan menggunakan pelbagai kitab," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelasnya lagi, kaedah pengajian tahfiz juga adalah menggunakan aliran pengajian tahfiz guru masing-masing.

Bagaimanapun, Asraf berkata kerajaan ketika ini dalam proses merangka kurikulum pendidikan untuk diselaraskan di sekolah-sekolah tahfiz supaya ia mengikut peredaran zaman.

"Kerajaan menyedari kurikulum pendidikan perlu diselaraskan untuk menjamin kualiti lepasan pelajar sekolah tahfiz adalah terjamin.

"Oleh itu, kerajaan melalui pelaksanaan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) sedang merangka model dan kurikulum sekolah tahfiz supaya sesuai dengan keperluan masa kini," katanya lagi.

Selain itu, Asraf juga memberitahu semua guru yang mengajar pendidikan agama Islam termasuk sekolah tahfiz perlu mendapatkan tauliah mengajar daripada pihak berkuasa agama negeri berkenaan.

KLXPRESS
 
Copyright © 2014 PenangKini.