BREAKING NEWS

Tuesday, 31 October 2017

#KL2017 Isu Kelewatan Bayaran Perkhidmatan MASOC janji selesai bayaran sehingga November




KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pengelola Malaysia Kuala Lumpur 2017 (MASOC) meluahkan rasa kecewa mengenai dakwaan beberapa artis dan pihak tertentu yang belum menerima bayaran sempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9, Ogos lalu.
Sedangkan, MASOC sudah membayar lebih 70 peratus daripada nilai kontrak syarikat yang dilantik, menerusi proses tender Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk mengendalikan upacara perasmian dan penutup kedua-dua temasya berkenaan pada 28 Ogos lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, MASOC sudah menetapkan sasaran melunaskan semua bayaran kepada pihak yang dilantik bagi selewat-lewatnya sehingga akhir November ini.
"Ketika mesyuarat MASOC bersama Menteri Belia dan Sukan (pada 23 Oktober lalu), Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengarahkan MASOC mempercepatkan proses pembayaran.
"Bayaran akan mengambil kira peraturan-peraturan kewangan yang berkuat kuasa terhadap semua syarikat yang dilantik memberikan perkhidmatan pada KL2017.
"MASOC kini bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk mempercepatkan proses pembayaran itu dengan sasaran semua bayaran itu sebelum akhir November ini," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zolkples berkata, terdapat dua jenis perolehan untuk KL2017 iaitu dibuat oleh Sekretariat MASOC sendiri atau melalui 16 jawatankuasa kecil di bawah MASOC.
"Perolehan yang dilakukan oleh 16 jawatankuasa kecil MASOC akan dibayar jika setiap jawatankuasa berkenaan sudah mengemukakan permohonan pembayaran lengkap mengikut prosedur ditetapkan Jawatankuasa Kewangan KL2017.
"Segala perolehan yang dibuat oleh Sekretariat kebanyakannya sudah mendapat bayaran awal antara 70 hingga 90 peratus daripada nilai kontrak.
"Sepatutnya syarikat atau agensi berkenaan dapat melunaskan bayaran kepada pihak ketiga yang sudah memberikan perkhidmatan mereka," katanya.
Bagaimanapun, katanya semua permohonan pembayaran yang dilakukan perlu melalui proses dokumentasi yang lengkap dan teratur mengikut peraturan Perbendaharaan seperti yang ditetapkan.
Mengenai rungutan sukarelawan yang mendakwa belum menerima bayaran elaun, katanya hampir semua daripada mereka yang mengemukakan tuntutan dan menepati prosedur ditetapkan sudah menerima bayaran MASOC.
"Bagaimanapun ada juga yang masih belum dibayar terutama atas sebab-sebab teknikal seperti kesalahan nombor akaun bank dan kesilapan butiran peribadi, namun jumlah aduan semakin berkurang.
Katanya, MASOC sudah menetapkan setiap aduan berhubung kelewatan pembayaran sukarelawan ini diselesaikan dalam tempoh lapan hari bekerja.
Pihak yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung pembayaran atas khidmat yang telah dilakukan boleh menghubungi helpdesk@kualalumpur2017.com.my bagi memastikan semua pembayaran berhubung pengelolaan Kuala Lumpur 2017 berjalan lancar.



 
Copyright © 2014 PenangKini.