BREAKING NEWS

Tuesday, 10 October 2017

KPKT Bantu Mangsa Rumah Roboh

9 OKT: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengumumkan bantuan kepada dua mangsa yang dirobohkan kediaman mereka di Subang minggu lalu, esok.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata, pihaknya bersimpati dan mengambil berat nasib yang menimpa dua bekas pegawai Masjid Lapangan Terbang Subang yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada Kerajaan Selangor.

“Saya difahamkan tidak ada apa pembelaan daripada kerajaan negeri. Mereka ni cakap sahaja lebih tapi tindakan tiada,” selar Noh.

Beliau merujuk tindakan Kerajaan Selangor yang diterajui Menteri Besar Mohamed Azmin Ali yang membenarkan pihak berkuasa tempatan merobohkan tiga buah kediaman dan dua buah kedai tanpa menyediakan kediaman dan premis lain untuk mangsa berpindah terlebih dahulu.

“Esok ada satu majlis, KPKT akan memberi bantuan kepada mereka. Tunggulah esok, saya akan umumkan,” jelas Noh kepada media ketika mengadakan lawatan kerja meninjau perumahan kos rendah di Rumah Pangsa Impian di Saujana Putra, Isnin.

Dalam lawatan kerja berkenaan, Noh telah mengumumkan bahawa KPKT mengumumkan sebanyak RM500,000 untuk menyediakan gelanggang futsal pelbagai guna untuk kemudahan penduduk di situ.

“Gelanggang ini akan dilengkapi bumbung, lampu dan kipas. Selain boleh bermain futsal, penduduk setempat boleh menggunakannya untuk tujuan kenduri kendara dan majlis sepertinya.

“Saya juga mengumumkan bantuan sebanyak RM150,000 untuk dua surau di perumahan pangsa ini untuk tujuan membaiki bumbung dan memasang jubin lantai,” jelas Noh.

Flat Impian yang mempunyai 18 blok dan mempunyai 1440 unit rumah itu terletak di dalam Parlimen Kuala Langat.
 
Copyright © 2014 PenangKini.