BREAKING NEWS

Monday, 23 October 2017

Kuari aktif bersebelahan tapak tanah runtuh Pulau Pinang

kuari-granit
GEORGE TOWN: Sebuah kuari granit terletak bersebelahan lereng bukit yang runtuh sehingga meragut nyawa 11 pekerja sebuah tapak pembinaan di Tanjung Bungah, di sini, kelmarin.
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mendedahkan “Kuari Granit Teik” terletak di sebelah kanan lereng bukit yang runtuh itu.
Ia merupakan kuari tetap yang mula beroperasi pada 1960.
Kementerian itu turut mendedahkan kuari berkenaan melakukan letupan 2 kali sebulan, dengan kali terakhir pada 9 Oktober lalu.
Kementerian itu berkata, ia tidak menyokong projek kondominium itu kerana tiada zon penampan secukupnya antara tapak projek berkenaan dan kuari terbabit.
Ia turut mengeluarkan surat penolakan pada 23 Januari 2015.
“Sebaik sahaja batu diletupkan dari lereng bukit, ia dihantar ke tapak ‘penghancuran’ dalam kawasan kuari di mana batu kemudiannya dihancurkan kepada bahagian lebih kecil untuk kegunaan pembinaan.
“Aktiviti kuari itu jaraknya hanya 162m daripada tapak penghancuran itu dan antara 400 hingga 500m dari tapak letupan kuari.
“Oleh itu, ia bukan persekitaran selamat dan aman untuk didiami manusia.“Tambahan, pembangunan itu membabitkan tebing curam dan ini memerlukan kajian kejuruteraan terperinci yang kemudiannya mungkin memerlukan kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).
“Malangnya, mereka (pemaju) memutuskan tidak menghiraukan nasihat kami dan meneruskan pembinaan yang secara terang-terangan mengabaikan nyawa pekerja mereka,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan semalam.
Semua 11 mangsa sudah ditemui dengan 10 mayat sudah dibawa keluar dari kawasan runtuhan, iaitu 3 warga Myanmar, 4 warga Bangladesh, 2 warga Indonesia serta seorang rakyat Pakistan.
Dalam kejadian 8.57 pagi kelmarin itu, semua 11 mangsa sedang bekerja di bahagian bawah bangunan yang dalam pembinaan, apabila lereng bukit itu runtuh.
Difahamkan, pemaju itu kini dalam proses pembinaan struktur tingkat bawah tanah bangunan 50 tingkat projek milik syarikat swasta itu.
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar “amat kecewa” dengan kurangnya pemantauan kerajaan Pulau Pinang terhadap projek itu.
Katanya, ia juga “bingung” kerana tiada “campur tangan” kerajaan negeri yang menurutnya hanya menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan.
“Kementerian menggesa kerajaan Pulau Pinang menyemak semula rancangan membina sebarang projek lereng bukit.
“Kami percaya kerajaan itu akan melakukan perkara betul dan menghalang kejadian sama daripada berulang demi kebaikan rakyat.” FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.