BREAKING NEWS

Friday, 20 October 2017

KWSP dan Uber meterai MoU tabung persaraan pemandu

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Uber Malaysia bagi menggalakkan pemandunya membuat tabungan dalam Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia (SP1M).

SP1M direka bagi membolehkan individu bekerja sendiri atau tanpa pendapatan bulanan yang tetap, seperti pemandu teksi, peniaga kecil, petani, suri rumah dan mereka yang bekerja dengan bebas, termasuk rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, membuat simpanan kepada dana persaraan diuruskan oleh KWSP.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, SP1M yang diperkenalkan pada 2010 merupakan respons kepada peningkatan bilangan rakyat Malaysia yang bekerja secara bebas dan tidak mempunyai simpanan atau aset kewangan yang cukup untuk persaraan mereka.
“Kami sukacita apabila Uber berkongsi keprihatinan ini dan bersetuju untuk menjadi rakan kongsi kami.

“Uber juga bersetuju untuk bekerjasama bagi membantu mengadakan siri ceramah KWSP mengenai perancangan kewangan dan membenarkan kami mempromosikan pelan persaraan bagi pemandu Uber,” kata Shahril dalam satu kenyataan hari ini.

Pengurus Besar Uber Malaysia dan Singapura, Warren Tseng ketika mengulas mengenai perkara tersebut, berkata Uber teruja menjadi rakan kongsi KWSP bagi membantu pemandunya membuat pilihan lebih baik dalam pelan persaraan dan jaminan kewangan masa depan mereka.

“Para pemandu kami telah memberi sumbangan besar kepada peningkatan dalam mobiliti dan penyambungan bandar, sekarang, kami mahu mereka menerajui persaraan mereka sendiri,” katanya.
Di bawah skim SP1M, individu secara sukarela boleh menyumbang sekurang-kurangnya RM50 ke dalam akaun SP1M mereka sehingga jumlah maksimum sebanyak RM60,000 setahun, dan adalah layak bagi menerima dividen ke atas simpanan mereka.

Pemandu yang menjadi anggota SP1M juga akan menikmati faedah sama seperti manfaat kematian sebanyak RM2,500 yang dinikmati oleh pencarum KWSP.
Di samping dividen tahunan dan faedah KWSP, kerajaan juga menyumbang 10% daripada caruman tahunan kepada jumlah maksimum sebanyak RM120 setahun sehingga ke penghujung 2017 untuk mereka di bawah 55 tahun.

KWSP berkata, ia sedang dalam perbincangan dengan pihak kerajaan untuk meneruskan manfaat ini.
Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan daripada 22 juta penduduk Malaysia yang bekerja, seramai 6.8 juta aktif menyumbang kepada KWSP dan 1.7 juta lagi dilindungi oleh skim pencen awam.

Baki seramai 13.7 juta lagi terdiri daripada individu bekerja sendiri yang tidak dijamin oleh apa-apa program perlindungan sosial rasmi dalam negara.
 
Copyright © 2014 PenangKini.