BREAKING NEWS

Sunday, 29 October 2017

Mohon sendiri amah jimat separuh kos - Zahid Hamidi

 Permohonan menggaji pembantu rumah asing secara langsung dari 9 negara sumber tanpa melalui ejen dapat menjimatkan 50% kos proses tersebut pada masa ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga menteri dalam negeri berkata sebelum ini, majikan terpaksa menanggung kos keseluruhan membawa masuk pembantu rumah berjumlah di antara RM12,000 hingga RM18,000.
“Ada kalangan pekerja asing ini bertukar 3 atau 4 majikan setahun, menyebabkan setiap kali (majikan) mengambil pembantu rumah asing mereka terpaksa membayar hingga RM80,000 setahun sedangkan pendapatan tidak sampai ke peringkat itu,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan Projek Pecah Tanah Pembinaan Jambatan Bagan Datuk ke Kampung Sejagop daerah Perak Tengah hari ini.
Semasa membentang Bajet 2018 di Dewan Rakyat semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan majikan boleh memohon pembantu rumah daripada Jabatan Imigresen secara dalam talian dengan bayaran levi dan fi pemprosesan seperti kadar sedia ada.

Menjelaskan perkara itu, Zahid berkata majikan boleh terlebih dahulu memohon pas lawatan sosial bagi pekerja yang boleh digunakan dalam tempoh 30 hari secara dalam talian.
“Dalam tempoh (30 hari) itu, majikan boleh membuat permohonan dalam talian bagi mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) untuk membolehkan mereka (warga asing) bekerja sebagai pembantu rumah,” katanya.

Sebelum ini, ketua isi rumah atau bakal majikan yang ingin menggaji pembantu rumah asing dari 9 negara termasuk Indonesia, Filipina, Myanmar, Vietnam dan Bangladesh, perlu pergi sendiri ke negara itu atau menggunakan ejen.

Ditanya mengenai keselamatan khususnya jenayah dalam pengambilan pembantu rumah asing, Zahid berkata bakal majikan tidak perlu khuatir mengenai perkara itu.

“Negara kita mempunyai sistem keselamatan yang cukup (baik) antaranya sistem biometrik, biomedik dan sistem pengimbasan keselamatan,” kata beliau.
 
Copyright © 2014 PenangKini.