BREAKING NEWS

Monday, 30 October 2017

Op Lejang: Lebih 200 mat rempit dikerah tolak motosikal sejauh 4 km

Seramai 210 penunggang motosikal ditahan dalam Op Lejang dan Rempit di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) yang merupakan lokasi geng motosikal dan mat rempit berkumpul serta berlumba haram, malam tadi.

Antara yang ditahan dalam operasi Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) itu adalah seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang sanggup menggadai nyawa dengan menunggang motosikal yang diubahsuai tanpa brek dan cermin sisi dari Parit Buntar, Perak ke BORR untuk berlumba haram dengan rakan-rakannya.

Semua yang ditahan itu kemudian diarahkan menolak motosikal masing-masing sejauh hampir 4 km selepas mereka ‘diperangkap’ di BORR dan dibawa ke Balai Polis Butterworth untuk diperiksa serta didokumentasi.

Ketua Polis Daerah SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata operasi itu, yang bermula pada 10 malam membabitkan 11 pegawai dan 61 anggota serta 2 anggota penguatkuasa Majlis Perbandaraan Seberang Perai (MPSP), turut menyita 21 motosikal kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk ubah suai keterlaluan.

Selain itu, sebanyak 185 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan seperti Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada cermin sisi, tiada nombor pendaftaran, tiada lesen memandu dan ubah suai ekzos, katanya hari ini.

“Dalam operasi itu, polis turut menahan 2 remaja lelaki berusia 14 tahun yang bukan sahaja menunggang motosikal diubah suai malah tidak memiliki lesen memandu.
“Mereka yang berasal dari Cheruk Tok Kun, mendakwa diberhentikan sekolah beberapa bulan lalu dan berada di BORR untuk bertemu rakan. Motosikal mereka turut disita kerana tiada cukai jalan,” katanya.

Noorzainy berkata dalam operasi itu, seorang lelaki turut ditahan kerana memiliki motosikal curi manakala seorang lagi ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara bahaya.

Beliau berkata operasi itu dijalankan bagi membanteras kegiatan curi motosikal yang semakin meningkat di SPU serta mengekang aktiviti lumba haram di sekitar kawasan BORR.
“Kawasan BORR sebagai ‘port’ mat rempit di SPU terutamanya pada hujung minggu. Operasi ini bagi membendung kegiatan berkenaan serta jenayah lain dan kami akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan mat rempit,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.