BREAKING NEWS

Friday, 6 October 2017

Pas sifatkan Dr. Mahathir pelupa

KOTA BHARU 5 Okt. - Pas menyindir Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan menyifatkan bekas Perdana Menteri itu sebagai seorang ‘pelupa’ apabila sanggup menjejakkan kaki ke Ibu pejabat DAP yang pernah disifatkannya sebagai parti rasis sebelum ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, terserah kepada rakyat untuk menilai sendiri tindak-tanduk Pe­ngerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu yang sememangnya tidak boleh dipercayai.


“Saya rasa Dr. Mahathir ini sudah tidak berapa ingat apa beliau kata. Hari ini kita tengok beliau dah melawat Ibu pejabat DAP yang dulu beliau kata rasis, cauvinis.

“Orang boleh nilai daripada segi kenyataannya yang kita sendiri kadang-kadang rasa tidak boleh percaya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Pintu Gerbang Dataran Cheng Ho di Jalan Kebun Sultan di sini malam tadi.

Kelmarin, Dr. Mahathir buat pertama kalinya dalam sejarah politik beliau menjejakkan kaki ke Ibu pejabat DAP di Kuala Lumpur.

Kehadiran Pengerusi Pakatan Harapan yang diketuai DAP ke bangunan tersebut adalah untuk menghadiri mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Menerusi gambar yang dimuat naik di laman Facebook DAP, Dr. Mahathir dilihat duduk berlatar­belakangkan logo parti itu dan bersebelahan Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Dr. Mahathir bahawa Pas adalah punca kepada perpecahan umat Islam di negara ini, Takiyuddin berkata, dakwaan beliau sama sekali tidak berasas.

“Pas ini parti Melayu Islam, ahli Pas lebih sejuta, dan lebih 99 peratus ahlinya adalah beragama Islam. Jadi tohmahan Pas pecah belahkan orang Melayu itu adalah tidak logik,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu.



 
Copyright © 2014 PenangKini.