BREAKING NEWS

Wednesday, 25 October 2017

Pelaburan terbesar di Pulau Pinang bukti kerajaan pusat adil - Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan


Dengan kelulusan pelaburan RM7.7 bilion dalam sektor pembuatan pada separuh pertama 2017 menjadikan Pulau Pinang negeri yang menerima pelaburan asing terbesar di negara ini.
Pencapaian ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan membuktikan kerajaan persekutuan tidak mendiskriminasi negeri yang dikuasai pembangkang dalam usaha mempromosi dan menarik pelaburan ke Malaysia.

Ini dibuktikan lagi dengan pembinaan rangkaian infrastruktur seperti Transit Aliran Massa, Transit Aliran Ringan dan lebuh raya yang jajarannya merentasi bandar di Selangor.
Katanya, Zon Perdagangan Bebas Digital di KLIA Aeropolis juga terletak di Selangor dan Jambatan Pulau Pinang Kedua yang menyambungkan tanah besar dan pulau dapat mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang Pertama.

Abdul Rahman dalam satu kenyataan hari ini berkata, pujian juga patut diberikan kepada agensi kerajaan persekutuan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) yang sentiasa berusaha menarik pelaburan langsung asing (FDI).
Menurutnya, Mida dengan kerjasama agensi persekutuan dan negeri membantu pelabur mendapat infrastruktur, kelulusan segera pihak berkuasa, menyokong pelaburan semula dan bertindak sebagai pusat sehenti kepada mereka.

Selain itu, 2 insentif cukai utama, iaitu taraf perintis dan elaun cukai pelaburan yang disediakan kerajaan persekutuan untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan juga disediakan untuk pelabur di negeri pimpinan parti pembangkang.

“Walaupun pelbagai tuduhan palsu dibuat pembangkang seperti Malaysia bukan lagi negara pilihan pelabur, pelabur asing meninggalkan Malaysia dan Malaysia sebuah negara gagal, tetapi data menunjukkan sebaliknya,” katanya.

Aliran masuk bersih FDI ke Malaysia meningkat daripada RM23.9 bilion pada 2008 kepada RM47.2 bilion pada 2016. Sejak 2014, ia meningkat secara konsisten walaupun Malaysia berdepan ketidaktentuan daripada luar seperti kejatuhan harga komoditi dan pasaran kewangan global tidak menentu.

Abdul Rahman berkata, rakyat Malaysia perlu sedar dan menilai pihak mana yang bersungguh-sungguh mengurus ekonomi negara dan pihak mana yang sibuk berpolitik.
 
Copyright © 2014 PenangKini.