BREAKING NEWS

Friday, 6 October 2017

Pelajar tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dekat di hati Rosmah


Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata tragedi kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat memberi kesan yang mendalam buat dirinya sekeluarga.
Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (Bakti) dan Penaung Tabung Kesejahteraan Kanak-kanak Sedunia, berkata anak-anak pusat tahfiz berkenaan begitu dekat dengan beliau dan keluarga.

“Anak-anak tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah ini amat istimewa dan dekat di hati saya.
“Sejak beberapa tahun lalu, pada setiap Khamis malam Jumaat para pelajar tahfiz ini hadir di kediaman saya di Taman Duta untuk melakukan ibadah seperti membaca surah Yasin dan mengadakan solat hajat,” katanya ketika menyampaikan sumbangan berjumlah RM1.6 juta kepada keluarga dan pelajar pusat tahfiz tersebut di Seri Perdana hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut hadir meluangkan masa bermesra dan bertanyakan khabar waris tragedi berkenaan.Menurut Rosmah, pada bulan Ramadan pula anak-anak tahfiz berkenaan menyerikan lagi majlis khatam al-Quran selain menunaikan solat sunat terawih secara berjemaah.

Sementara itu, menurut Pegawai Khas kepada Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor, sudah menjadi kelaziman bagi para pelajar tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah untuk melakukan aktiviti ibadah di kediaman perdana menteri sejak 3 tahun lalu.“Kali terakhir pelajar pusat tahfiz ini melakukan aktiviti tersebut ialah pada Khamis malam Jumaat seminggu sebelum tragedi.


“Malah pada hari tragedi berkenaan yang berlaku pada subuh Khamis, malam berkenaan mereka dijadualkan untuk melakukan aktiviti tersebut di rumah perdana menteri seperti biasa,” katanya.
Kebakaran pada 5.15 pagi 14 September di pusat tahfiz tersebut mengorbankan 21 pelajar dan 2 guru yang juga warden asrama akibat terperangkap di dalam asrama yang terletak di tingkat paling atas bangunan 3 tingkat berkenaan.

Pada majlis hari ini, Rosmah menyampaikan sumbangan kepada 40 penerima iaitu 23 waris yang terkorban, 6 keluarga pelajar yang cedera dan 11 pelajar yang terselamat.
Setiap waris menerima RM10,000 iaitu RM5,000 daripada Bakti dan RM5,000 daripada Tabung Kesejahteraan Kanak-kanak Sedunia yang ditubuhkan di bawah program Permata untuk membantu kanak-kanak yang terlibat dengan sebarang musibah.

Sumbangan kepada pelajar yang mengalami kecederaan pula sebanyak RM6,000 seorang iaitu RM3,000 daripada Bakti dan RM3,000 daripada Tabung Kesejahteraan Kanak-Kanak Sedunia.
Sementara sumbangan kepada pelajar yang terselamat pula sebanyak RM2,000 seorang iaitu RM1,000 daripada Bakti dan RM1,000 daripada Tabung Kesejahteraan Kanak-kanak Sedunia.
Selain sumbangan daripada Bakti dan tabung berkenaan, Rosmah turut mengumumkan sumbangan daripada seorang individu yang menyumbangkan RM50,000 kepada setiap waris yang kehilangan keluarga, RM20,000 kepada setiap pelajar yang cedera dan RM5,000 kepada para pelajar yang terselamat.

Sementara itu, ibu seorang mangsa yang terkorban, Hartini Abdul Ghani, 48 yang kehilangan anak ke-6 daripada 7 beradik, Nik Muhammad Ridzwan Nik Azlan, 12, berkata beliau tersentuh dengan keprihatinan perdana menteri sekeluarga terhadap kebajikan waris dan mangsa sehingga ke hari ini.
“Arwah sering bercerita mengenai rasa terujanya untuk mengaji di rumah perdana menteri.
“Dia sering memesan untuk membawa jubah yang bersih pada setiap hari Rabu iaitu sehari sebelum mereka mengaji di rumah perdana menteri,” katanya lagi.Hadir sama pada majlis itu ialah Pengetua Darul Quran Ittifaqiyah Mohd Zahid Mahmood
 
Copyright © 2014 PenangKini.