BREAKING NEWS

Wednesday, 11 October 2017

Pengundi Cina Di Jangka Beri Undi Kejutan PRU 14

Gara-gara melihat Pakatan Harapan yang ‘huru-hara’ dasar perjuangan antara parti yang menganggotai komponen gabungan pembangkang itu, kaum Cina dijangka bakal kembali memberi undi kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR dilihat hanya mempunyai satu titik persamaan sahaja iaitu menjatuhkan BN, namun mempunyai dasar yang jelas jauh berbeza antara satu sama lain.

Perbezaan dasar antara parti itu dapat dilihat daripada pendekatan dan tindakan terhadap isu-isu semasa yang melanda negara seperti RUU355, kontroversi pesta arak dan banyak lagi isu yang gagal mencapai kata sepakat.

Selain itu, masyarakat Cina juga dikatakan merasa bimbang tentang ketidakstabilan Pakatan Harapan tersebut di pandangan mata mereka yang mungkin bakal memberi kesan negatif yang besar terhadap kedudukan ekonomi negara.

Meskipun cuba diyakinkan oleh barisan kepimpinan Pakatan Harapan sebelum ini, namun hujah-hujah yang diberikan kurang meyakinkan pengundi Cina, termasuk berhubung kepentingan pendidikan mereka di negara ini.

“Gula-gula politik” yang ditabur juga dikatakan tidak berkesan ekoran parti-parti berkenaan masih gagal melunaskan janji mereka sebelum ini biarpun kaum Cina telah memberi peluang dan undi untuk dua penggal berturut-turut.

Signifikannya, terdapat kelompok masyarakat Cina yang dikatakan lebih senang hati untuk memberi undi mereka sama ada kepada BN mahupun PAS pada PRU ke-14 ini ekoran rasa bosan terlampau kepada “permainan” politik Pakatan Harapan.

Pendekatan politik UMNO dan PAS yang dilihat lebih sederhana dikatakan lebih menarik perhatian mereka khususnya berhubung usaha pengukuhan ekonomi negara meskipun menerima cabaran hebat ketidaktentuan ekonomi global dan sikap Pakatan Harapan yang menjejaskan imej negara di mata pelabur asing.

Perkembangan tersebut turut disahkan oleh Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Dr Leong Yong Kong kepada Kedahnews.com yang mendedahkan sedikit maklumat berhubung kajian terkini MCA terhadap sokongan politik masyarakat Cina di seluruh negara.

Menurut beliau yang ditemubual dalam satu wawancara eksklusif, sokongan terhadap BN daripada masyarakat Cina telah meningkat berbanding peratusan sokongan yang diterima pada pilihanraya ke-12 dan 13 yang lalu.

Justeru itu, masyarakat Cina dalam “diam” dijangka bakal memberi kejutan kepada Pakatan Harapan pada PRU yang berlangsung tidak lama lagi setelah “memberi muka” kepada parti-parti pembangkang itu pada dua penggal yang lalu. – Kedahnews.com
 
Copyright © 2014 PenangKini.