BREAKING NEWS

Monday, 9 October 2017

Program sejarah ‘DAP dan Pulau Pinang’ retorik & kemaruk politik semata-mata



GEORGETOWN - Permohonan Dapsy untuk mengadakan disifatkan program sejarah ‘DAP dan Pulau Pinang’ sebagai retorik dan kemaruk politik semata-mata.

Naib Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Jasmin Noordin berkata, jika benar mahu mengenali sejarah negeri sendiri, seharusnya belajar dari zaman dahulu dan bukannya semenjak DAP mengambil alih tampuk pimpinan negeri ini.


“Saya terpanggil untuk memberi komen dan pandangan mengenai permohonan agar peranan DAP sejak 2008 dimasukkan sebagai program sejarah oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.

“Nasihat saya pada Ketua Dapsy Bukit Mertajam (Joshua Woo Sze Zeng) agar berpijak pada bumi yang nyata. Sumbangan dan perjuangan Umno pada kemerdekaan tidak boleh dipertikaikan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan apakah sumbangan DAP kepada Pulau Pinang semenjak mengambil alih tampuk pimpinan pada 2008.

“Saya harapkan Joshua dapat memberi idea yang dapat memberi sumbangan terhadap mempersiapkan dan memperhebatkan para pelajar dalam pelajaran dan juga kehidupan yang akan mereka jalani selepas alam persekolahan.

“Anjurlah program motivasi, kelas bimbangan ataupun bantu sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta membantu pelajar dari keluarga miskin,” katanya.

Menurutnya, apa yang berlaku di Putrajaya tempoh hari adalah berlandaskan sejarah. Namun itu atas faktor sejarah kemerdekaan, faktor sejarah untuk DAP adalah pada 13 Mei.

“Saya ingin nasihatkan Dapsy agar lebih logikal dan telus atas permohonan yang dibuat. Apa yang saya lihat hanyalah lebih pada doktrinasi dan bukan mahukan pembentukan pelajar-pelajar yang berjaya dalam pelajaran dan kehidupan.

“Apa yang dapat dibanggakan semenjak 2008 DAP memerintah Pulau Pinang? Hanyalah skandal dan isu-isu yang tak dapat diselesaikan, keengganan kerajaan DAP menyediakan rumah mampu milik dan enggan menerima penambahbaikan Rang Undang-undang 355,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ketua Pemuda Umno Bahagian Jelutong berkata, catatan sejarah, keringat dan pengorbanan perjuangan Umno adalah benar dan perlu dihayati semua lapisan masyarakat.

“Saya nasihatkan Dapsy, perjuangkanlah perumahan, pendidikan dan berganding bahu pertahankan tanah-tanah di Pulau Pinang agar tidak berterusan ditarah dengan rakusnya. Turunlah bantu rakyat di kala musibah melanda.

“Jika ini dilakukan, saya doakan suatu hari nanti DAP akan tercatat dalam sejarah negara kerana kehebatan membangunkan negara,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.